'Zahid Hamidi, 'bos' punyai kuasa penuh aset Yayasan Akalbudi'

Ahmad Zahid.- Foto Bernama
Ahmad Zahid.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah ‘bos’ yang mempunyai kuasa serta kawalan penuh ke atas aset Yayasan Akalbudi (YAB).

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, tertuduh sebagai pemegang amanah YAB, mempunyai kawalan dan kuasa penuh ke atas aset yayasan itu ketika beliau secara tidak jujur telah menyeleweng berjuta-juta ringgit daripada dana YAB.

Beliau memberi contoh bagaimana Ahmad Zahid boleh mengawal YAB dengan pelantikan dua pemegang amanah baharu pilihan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sendiri iaitu Muhammad Nabil Saleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi bagi menggantikan Samsuri Tun dan Profesor Dr Zulkifli Senteri yang meletak jawatan pada 4 April 2012.

“Kerusi yang dikosongkan segera diisi oleh dua lagi yang memegang jawatan dalam UMNO Bahagian Bagan Datuk iaitu Muhammad Nabil Saleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi. (Ahmad Zahid ialah Ahli Parlimen Bagan Datuk).

“Sepintas lalu, pelantikan mereka sebagai pemegang amanah kelihatan seperti biasa-biasa saja. Namun jika anda meneliti siapa mereka, anda akan dapati seorang daripada mereka adalah pembantu peribadi beliau.

“Mereka mungkin menjadi pemegang amanah seperti beliau (Ahmad Zahid) namun hakikatnya Yang Arif, beliau adalah bos dan masih bos mereka. Jadi adalah tidak keterlaluan jika saya katakan apa yang bos nak, bos akan dapat,” katanya ketika berhujah di akhir kes pendakwaan bagi perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

Raja Rozela juga berkata, pada 4 April 2012, Ahmad Zahid telah menjadikan dirinya sebagai penandatangan tunggal bagi akaun bank YAB.

“Semasa beliau berkuasalah yang menyaksikan kira-kira 50 cek YAB dikeluarkan dan pengeluaran dana daripada tujuh akaun simpanan tetap. Jumlah terkumpul ialah RM31,082,732.57,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berhujah Presiden UMNO itu sepatutnya tahu bahawa beliau tidak ada hak menggunakan aset itu walaupun untuk dirinya sendiri.

Katanya, dengan menggunakan dana itu untuk diri sendiri walaupun mengetahui beliau tidak berhak berbuat demikian, tertuduh telah bertindak secara tidak jujur dengan niat untuk merampas aset YAB dan memperoleh dana itu bagi keuntungan sendiri.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Selasa. - Bernama