X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Tindakan Cheng Hoe simpan skuad utama perlu dilihat dari sudut positif

Skuad negara mencatat keputusan tidak memuaskan dalam dua aksi persahabatan Jordan dan Uzbekistan apabila dibolosi sembilan gol. - Foto Football Association of Malaysia
A
A

TINDAKAN Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak menurunkan skuad utama bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Amman, Jordan baru-baru ini perlu dilihat dari sudut positif.

Meskipun sisi kelemahan skuad kebangsaan jelas terserlah apabila mudah dijinakkan Jordan dan Uzbekistan pada siri persahabatan itu, namun dari sudut pandang seorang jurulatih kedua-dua perlawanan itu mungkin dapat memberi Cheng Hoe input terkini, demi kebaikan pasukan negara.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, B Sathianathan melihat keputusan Cheng Hoe tidak membawa pemain yang sering diberi kepercayaan menyarung jersi negara sebelum ini sebagai usaha meluaskan skop pemilihan pemain bagi mengharungi Kejuaraan Piala AFF 2020 di Singapura pada Disember ini.

“Mungkin Tan (Cheng Hoe) sudah ada perancangan dengan pemain-pemain utama, beliau juga sudah tahu siapa yang boleh bermain dan membantu skuad negara. Jadi apa yang diperlukan Tan adalah untuk mengenal pasti lebih ramai pemain selain daripada yang berada dalam skuad utama.

“Dalam bola sepak moden, kita perlukan lebih ramai pemain yang ada kualiti macam pemain pasukan utama. Kalau kita lihat sekarang pertukaran sampai lima pemain dan kita nampak apabila pertukaran dibuat banyak berlaku perubahan taktikal, cara permainan, intensiti dan sebagainya,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Sathianathan berkata, dengan tidak menurunkan skuad utama, Cheng Hoe akhirnya mempunyai ruang dan peluang untuk menguji beberapa pemain baharu, yang sebelum ini kurang diberikan minit permainan beraksi pada perlawanan berintensiti tinggi bagi mempamerkan kemampuan masing-masing.

Pada siri persahabatan di Amman itu, Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia tewas 0-4 kepada pasukan tuan rumah di ranking ke-93 dunia Rabu lepas, sebelum kecundang 1-5 di tangan Uzbekistan (ke-84 dunia) pada Sabtu lepas.

Melihat kepada keputusan itu, Sathianathan merumuskan sebahagian besar pemain yang dipanggil mewakili skuad Harimau Malaya kali ini, masih belum mencapai standard diperlukan untuk diturunkan menentang pasukan di ranking lebih baik.

“Tetapi jangan lupa inilah masanya untuk Tan lihat mereka (pemain) berlatih bersama. Dalam sesi latihan jurulatih boleh tahu tahap seseorang pemain itu boleh bermain atau tidak, sehingga ke peringkat mana, dia boleh bantu pasukan atau tidak dalam pertandingan akan datang,” kata Sathianathan.

Katanya, Kejuaraan Piala AFF 2020 akan menjadi medan buat Cheng Hoe membuktikan percaturannya selama ini tepat, sementara penyokong pula perlu mengawal keghairahan mereka dan memberikan masa kepada Cheng Hoe untuk membentuk skuad terbaik.

Sathianathan mengakui satu kesukaran bagi seorang jurulatih untuk meneruskan sesuatu perkara yang mendapat kritikan, biarpun menyedari tindakan itu akan memberi manfaat kepada pasukan pada masa hadapan.

“Beliau (Cheng Hoe) kena tunjukkan sewaktu Piala AFF nanti, netizen kena tunggu sehingga waktu itu. Bagi saya boleh ambil pandangan (orang luar) dan belajar, tapi tak boleh dipengaruhi pandangan itu. Keputusan adalah hak kamu sebagai jurulatih,” katanya.

Saingan Kejuaraan Piala AFF 2020 menyaksikan skuad bimbingan Cheng Hoe diundi bersama juara bertahan Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos dalam Kumpulan B, sementara Kumpulan A membariskan pasukan Thailand, Myanmar, Filipina, Singapura dan pemenang aksi 'play-off' antara Timor Leste dan Brunei. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!