Saya hanya lihat kelibat empat orang: Saksi

Rusuhan berlaku di Kuil Sri Mahariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 26 Disember 2018.
Rusuhan berlaku di Kuil Sri Mahariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 26 Disember 2018.
A
A
A

PETALING JAYA - Saksi pendakwaan kesembilan memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Isnin bahawa dia tidak melihat kesemua 17 tertuduh dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 26 November 2018.

S Puvana, 33, sebaliknya berkata, dia hanya menyedari kelibat empat daripada 17 tertuduh berada di lokasi kejadian sehari selepas itu iaitu pada 27 November 2018.

Suri rumah itu berkata demikian ketika perbicaraan kes merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya di Kuil Sri Maha Mariamman di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, Puvana berkata, ini kerana dia berada di rumah pada jam 2 hingga 5 pagi, 26 November.

Menurutnya, dia hanya melihat empat tertuduh di kuil tersebut pada jam 1.30 pagi, keesokan hari.

Ahmad Zaharil: Puan melihat rusuhan berlaku pada 26 atau 27 November?

Puvana: 27 November sebab pada pendapat saya, ketika itu jam sudah melepasi 12 tengah malam.

Ahmad Zaharil: Jadi ia tiada kaitan dengan kejadian 26 November?

Artikel Berkaitan:

Puvana: Ya, sebab saya nampak mereka datang selepas jam 12 tengah malam.

Saksi ini juga berkata 'ya' ketika ditanya oleh peguam Mohd Hezli Shaharil yang mewakili 14 daripada kesemua tertuduh bahawa dia mengecam empat tertuduh berdasarkan kejadian pada 27 November 2018.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi, Puvana mengesahkan ada melihat Rozaihan Zakaria, Mohd Zamri Md Said, Mohammad Shahril Daniel Sajeel dan Muhammad Saifullah Abdullah.

Menurutnya, dia dapat mengingati keempat-empat tertuduh itu terutama Muhammad Saifullah kerana tertuduh ke-15 itu boleh bertutur dalam bahasa Tamil.

"Muhammad Saifullah menghalau semua individu yang berada dalam kuil dan cakap bagaimana mahu menyelesaikan masalah," katanya.

Semasa membaca pernyataan saksi sebelum itu, Puvana berkata, dia tiba di kuil pada jam 7.30 malam, 26 November dan mendapati suasana di kuil tenang.

Dia kemudian berpatah balik ke rumah bersama ibunya, M Paramiswari dan kakak sepupu, R Gunavathy untuk menukar pakaian.

Puvana berkata, lebih kurang jam 1.30 pagi pada 27 November, dia ternampak 200 orang memegang senjata di sekitar kuil.

Menurutnya, separuh daripada mereka memakai pelitup muka namun tidak memakai vest kuning.

Ketika itu juga, katanya, pagar kuil telah dirobohkan dan dia terus masuk ke dalam kuil untuk mencari suami dan keluarganya.

Prosiding bersambung pada Khamis ini.

Pada 4 Disember 2018, seramai 18 individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan melibatkan diri dalam rusuhan dengan memiliki senjata berbahaya untuk menyerang.

Mereka ialah Muhamad Riduan Sekh Ruslan, Irwan Noordin, Mohamad Khairi Abdul Rashid, Rozaihan Zakaria, Muhammad Qayyum Mohd Faisal, Mohd Ashraf Mohd Faizal, Absal Eastrie Abdullah, Mohamed Jalil Talib, Muhammad Khairol Anuar Zabidi, Mohd Zamri Md Said, Shukri Razali, Afizal Sabtu, Nor Azmi Abdul Ghani, Mohammad Shahril Daniel Sajeel, Muhammad Saifullah Abdullah, Muhammad Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Aziz dan Mohd Norul Ismawi Islahuddin.

Kesalahan didakwa dilakukan antara jam 2 pagi dan 5 pagi, 26 November 2018 mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh ke-12, Afizal bagaimanapun meninggal dunia akibat kemalangan, dua tahun lalu.