R&R Seremban tenang, jangka hujung minggu ramai

Muhamad Hiraq bersama isteri dan anak singgah makan di R&R Seremban arah utara
Muhamad Hiraq bersama isteri dan anak singgah makan di R&R Seremban arah utara
A
A
A

SEREMBAN - Orang ramai dilihat mula mengambil peluang bercuti selepas kebenaran rentas negeri dibenarkan pada Isnin.

Bagaimana pun tinjauan Sinar Harian di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah utara mendapati keadaan tenang dan terkawal.

Seorang pekerja kedai makan, Noor fadilah Ahmad, 46, berkata, kehadiran pengunjung ke R&R itu sejak pagi seperti biasa mungkin disebabkan hari bekerja dan anak-anak pula bersekolah.

"Pengunjung ada, tapi tidak ramai macam waktu cuti. Kita tengok pada hari Jumaat hingga Ahad ini. Kalau sebelum Perintah Kawalan Pergerakan(PKP), memang tidak menang tangan menyediakan juadah untuk jualan," katanya kepada Sinar Harian.

Pengunjung, Muhamad Hiraq Talib, 29, berkata, dia bersama dua anak bertolak seawal jam 4 pagi dari Kota Tinggi, untuk bersiar-siar di Kuala Lumpur.

"Saya bergerak awal pagi kerana risau jalan sesak. Sudah lama kita semua tidak boleh rentas negeri dan inilah peluang untuk bercuti.

"Bagaimanapun keadaan jalan lancar dan saya juga buat keputusan bercuti pada hari Isnin berbanding hujung minggu kerana ramai lagi masih bekerja," katanya.

Suri rumah Faridah Mohd Khalid, 59, dari Skudai, Johor, pula bersyukur apabila rentas negeri dibenarkan kerana anak lelakinya akan melangsungkan perkahwinan pada Selasa di Shah Alam, Selangor.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jika pada awalnya dia terpaksa menghadkan jumlah ahli keluarga yang dibenarkan rentas negeri tetapi kini tidak lagi.

"Pagi semalam (Isnin) anak perempuan saya pergi balai polis minta surat rentas negeri untuk hadir majlis perkahwinan tetapi polis hanya benarkan lima individu sahaja.

"Apabila jam 3 petang pengumuman rentas negeri dibenarkan, kami menyewa kenderaan lebih besar dan membawa sembilan ahli keluarga untuk menghadiri majlis itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad berkata, berlaku peningkatan jumlah kenderaan di beberapa jalan raya namun masih terkawal.

"Pemerhatian kita dari tengah malam tadi sehingga jam 2 petang ini, keadaan semua jalan terkawal.

"Kemungkinan masih ramai bekerja pada waktu ini tetapi kita menjangkakan jumlah kenderaan akan meningkat bermula Jumaat hingga Ahad ini berikutan cuti hujung minggu," katanya.

Sehubungan itu katanya, polis akan melakukan pemantauan terutama di lokasi tumpuan bagi memastikan orang ramai mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.