Insiden SUKE: Dua kontraktor kena penalti

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua kontraktor yang terlibat dengan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dikenakan penalti berjumlah RM300,000 kerana gagal memastikan keselamatan di tapak bina sehingga mengakibatkan kemalangan maut pada 22 Mac lepas.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam kenyataan memaklumkan denda itu dikenakan melalui prosiding tindakan tatatertib kontraktor yang diadakan pada 20 September lepas.

“Prosiding itu memutuskan kontraktor utama untuk Pakej CA3, jajaran CH4200 hingga CH7800 Projek SUKE iaitu Syarikat Muhibah Perniagaan dan Pembinaan Sdn Bhd dikenakan penalti sebanyak RM100,000.

“Sementara itu subkontraktor untuk projek yang sama, China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd pula dikenakan penalti RM200,000,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua kontraktor didapati bersalah di bawah Seksyen 34B(1)(b) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Akta 520) yang memperuntukkan setiap kontraktor perlu memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas pembinaan.

Sekiranya kontraktor gagal memastikan keselamatan, CIDB boleh mengenakan penalti yang tidak melebihi RM500,000 ke atas mereka.

Pada 22 Mac lepas, tiga maut dan seorang cedera apabila salah satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak projek pembinaan SUKE dan menghempap sebuah kereta di Persiaran Alam Damai, Cheras.

“Bagi menjamin keselamatan awam dan langkah-langkah kerja bagi projek SUKE, CIDB turut menyarankan agar kontraktor terbabit melakukan audit keselamatan oleh pihak ketiga terhadap keselamatan projek, cara kerja dan pengendalian serta pengurusan tapak bina,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada November 2020, CIDB telah mengenakan penalti RM180,000 kepada dua kontraktor yang terlibat dengan pembinaan pakej CA2, SUKE, berikutan kejadian bongkah konkrit terjatuh dari struktur pembinaan lebuh raya itu dan menimpa sebuah kenderaan pada 19 September 2020.

Di dalam kes berkenaan kontraktor utama dikenakan penalti RM80,000 manakala subkontraktor pula dikenakan penalti RM100,000.

Sementara itu Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, CIDB memandang serius setiap kemalangan yang berlaku di sektor pembinaan dan mengingatkan penggiat industri agar sentiasa komited untuk terus meningkatkan tahap keselamatan serta menjaga keselamatan serta kesihatan pekerjaan di tapak pembinaan. - Bernama