Kenderaan masuk Kelantan meningkat hampir 20 peratus

Shafien (kiri) memeriksa kad vaksinasi seorang pemandu kereta yang merentas negeri dari Terengganu di SJR Bukit Yong, Pasir Puteh pada Isnin.
Shafien (kiri) memeriksa kad vaksinasi seorang pemandu kereta yang merentas negeri dari Terengganu di SJR Bukit Yong, Pasir Puteh pada Isnin.
A
A
A

PASIR PUTEH - Jumlah kenderaan yang memasuki Kelantan pada hari pertama kerajaan membenarkan rentas negeri dianggarkan meningkat hampir 20 peratus setakat petang Isnin.

Jumlah itu direkodkan bermula jam 12.01 pagi dan dijangka meningkat lebih tinggi menjelang hujung minggu ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kebanyakan kenderaan yang memasuki Kelantan adalah mereka yang datang dari pelbagai negeri terutama Kuala Lumpur dipercayai untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Beliau berkata, peningkatan jumlah kenderaan itu menunjukkan rakyat Kelantan yang berada di luar begitu teruja selepas hampir dua tahun tidak pulang ke kampung.

Menurutnya, pada Isnin, jumlah kenderaan yang memasuki Kelantan adalah lebih banyak berbanding kenderaan yang keluar.

“Pada hari pertama, kita sudah melihat kenderaan yang memasuki Kelantan mula meningkat.

“Saya menganggarkan sehingga petang ini (Isnin), hampir 20 peratus peningkatan jumlah kenderaan yang masuk ke negeri ini melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jeli, Gua Musang dan sebahagian besarnya di sempadan Pasir Puteh-Terengganu,” katanya kepada pemberita ketika melawat ke SJR Bukit Yong di sini pada Isnin.

Hadir sama ialah Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri.

Artikel Berkaitan:

Shafien berkata, pihaknya turut menubuhkan sebanyak 154 pasukan khas dianggotai 540 anggota dan pegawai yang berpakaian preman, uniform dan vest polis bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat-tempat awam seperti taman rekreasi, restoran dan pusat beli-belah.

“Kelonggaran yang diberikan kerajaan ini bagaimanapun ada batasannya dan SOP tetap perlu dipatuhi.

"Setakat ini, satu kes individu dari luar Kelantan dikesan cuba merentas negeri walaupun belum divaksin.

“Jangan menganggap polis tidak membuat pemeriksaan. Kita akan buat pemeriksaan secara rambang, jadi jangan sesekali cuba merentas negeri sekiranya tidak divaksin atau belum melengkapkan dos suntikan,” jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 16 SJR di negeri ini ditamatkan pada tengah malam Ahad, manakala empat SJR masih dikekalkan membabitkan lokasi di sempadan antara negeri.

“Sepertimana sedia maklum, Kelantan adalah negeri bersempadanan dengan Thailand dan penugasan Ops Benteng masih diteruskan.

“Kelantan masih terdapat satu lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana jumlah kes harian positif Covid-19 masih tinggi,” ujar beliau.