Sudahkah Pas Islamkan UMNO, soal Mahathir

Ikatan rasmi antara UMNO dan Pas.
Ikatan rasmi antara UMNO dan Pas.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Terjalinnya ikatan rasmi antara UMNO dan Pas membuatkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terpanggil untuk mengemukakan beberapa hujah yang mempersoalkan hubungan dua parti yang tidak sehaluan sebelum ini.

Beliau yang juga Pengerusi PH menegaskan, PH sama sekali tidak gentar melihat gabungan Pas dengan UMNO.

Bahkan, katanya, ia memberi banyak isu dan peluang untuk didedahkan tentang kedua-dua parti berkenaan yang mana pembohongan sudah jadi wajib bagi mereka.

“Gabungan Pas dan UMNO ini agak menarik kerana asas perpecahan dan penubuhan Pas dahulu belum selesai. Ulama UMNO keluar UMNO untuk menubuhkan Pas kononnya kerana Islam.

Lagipun semasa kepimpinan UMNO yang lepas, salah satu sebab penggabungan bahkan kerjasama UMNO dan Pas tidak berlaku adalah kerana Pas telah mengkafirkan UMNO.

ARTIKEL BERKAITAN: 'UMNO-Pas dah bersanding' - Tok Mat

“Pas tidak pernah menarik balik 'fatwa' tersebut. Sudahkah Pas Islamkan UMNO?," tulis Perdana Menteri di dalam entri blognya.

Selain itu, Dr Mahathir mendedahkan, Pas juga tidak mahu bekerjasama dengan UMNO pada masa dahulu kerana UMNO mengamalkan perlembagaan yang dituduh sekular dan kafir.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah antara asas Amanat Haji Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) yang membawa kepada sembahyang dua imam; tidak mahu makan sembelihan orang UMNO, jenazah perlu disembahyangkan semula oleh orang Pas jika sebelumnya disembahyangkan oleh orang UMNO, mengharamkan anak mengahwini anak orang UMNO, mengharamkan isteri mengundi UMNO dan jika dilakukan akan gugur talak dan bermacam-macam lagi.

“Adakah kesemua larangan dan amalan-amalan ini telah ditarik balik atau di arah untuk dihentikan? Apakah orang UMNO terima bahawa mereka dengan Pas berlainan agama tetapi perbezaan ini diterima kedua-dua pihak,” tulisnya lagi.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Langkawi itu juga berpendapat, melihat kepada perkembangan sekarang, kerjasama antara UMNO dan Pas lebih ke arah untuk mengembalikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin dan menghalalkan semua jenayah yang didakwa telah dilakukannya.

“Adakah Pas sudah anggap Najib yang sedang menghadapi tuduhan-tuduhan rasuah dan salah guna kuasa tidak bersalah?

“Apakah atas nama penyatuan Melayu dan Islam, rasuah, salah guna kuasa dan jenayah boleh dihalalkan? Apakah ini adalah pembohongan yang wajib?

“Betul, Najib belum didapati bersalah kerana perbicaraan oleh mahkamah belum dapat diadakan. Akan diterimakah Najib sebagai pemimpin Pas jika ia didapati bersalah.

“Tetapi jika ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Pas yang arif akan apa yang berlaku di serata dunia, kenapakah mereka masih bersedia bersekongkol bersama UMNO dan Najib. Tidak sedarkah mereka bahawa ramai ahli UMNO sudah meninggalkan UMNO kerana telah jadi kleptokrasi dan bukan demokrasi,” soal Dr Mahathir lagi.

Malah beliau turut mengingatkan, mereka juga pasti sedar bagaimana beberapa buah bank terkenal dunia telah ditutup dan pegawai-pegawai mereka didakwa dan dijel kerana pembabitan di dalam skandal 1MDB.

Tambahnya, selain daripada itu, Pas perlu sedar nilai yang diterap dengan bekerjasama dengan Najib dan UMNO pada waktu ini.

“Najib menggelar dirinya dan digelar oleh pengikutnya sebagai 'boss' yang tak perlu berasa malu.

“Bos bermakna 'tuan hamba'. Apakah Pas juga bersedia untuk jadi hamba kepada seorang yang dipercayai mencuri. Sudah gugurkah Pas perasaan malu apabila menerima Najib sebagai 'boss', ujarnya.

Dr Mahathir berkata, beberapa orang pemimpin Pas sebelum ini datang berjumpa dengannya dan menyerahkan satu dokumen akujanji akan menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

Bahkan, katanya, pemimpin Pas memberitahu tidak akan berkempen sokong BN di PRK DUN Semenyih.

“Tetapi pada hari penamaan calon ramai pemimpin Pas hadir bersama pemimpin BN. Inikah janji Pas?,” soalnya.

UMNO dan Pas semalam mengumumkan secara rasmi kerjasama antara dua parti itu yang antara lain agendanya ialah menumpukan kerjasama bagi menghadapi PRK akan datang.