X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Perjalanan feri Kuala Kedah-Langkawi ditambah bermula Sabtu

Anggota polis memeriksa tempat duduk penumpang yang menaiki feri dari Terminal Kuala Kedah ke Langkawi bagi memastikan mereka mematuhi SOP ditetapkan.
A
A

ALOR SETAR - Kekerapan perjalanan feri bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi akan ditambah mulai Sabtu ini susulan kebenaran merentas negeri yang diumumkan kerajaan bermula Isnin.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, buat masa ini,laluan perjalanan dari Terminal Kuala Kedah ke Langkawi masih kekal dengan satu perjalanan sehari, manakala dari Terminal Kuala Perlis sebanyak dua perjalanan sehari.

Menurutnya, faktor air pasang surut yang berlaku ketika ini yang tidak memungkinkan kekerapan perjalanan feri ditambah sejurus dibenarkan merentas negeri.

“Alur pelayaran Kuala Kedah dan Kuala Perlis buat masa ini telah kembali diliputi oleh lumpur, diharap kerja-kerja mendalamkan alur pelayaran dapat dilakukan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Baharin berkata, buat masa kini, pihaknya masih belum dapat memastikan bilangan kekerapan yang akan ditambah melibatkan laluan feri Kuala Kedah ke Langkawi kerana ia bergantung kepada kerja-kerja mendalamkan alur pelayaran yang akan dilaksanakan.

Beliau turut mengingatkan pelancong yang ingin menggunakan perkhidmatan feri agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk kelancaran perjalanan.

“Kita juga masih menanti apakah SOP masuk ke Langkawi masih dikekalkan, iaitu semua pelancong diwajibkan menjalani Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen, seperti mana SOP pembukaan Langkawi sebagai gelembung pelancongan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, Terminal Kuala Kedah dibuka semula kepada orang ramai bermula pada 23 September selepas perkhidmatan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi ditutup selama dua minggu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kuala Kedah bermula 6 hingga 19 September lalu.

"Kehadiran pelancong dijangka mulai memuncak pada November dan Disember depan, kerana kedua-dua bulan terbabit sering dikaitkan dengan musim percutian hujung tahun dan Langkawi sering menjadi lokasi tumpuan," katanya lagi.

Pada Ahad, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi yang dilancarkan 16 September lepas memberi sinar baharu kepada industri pelancongan di pulau legenda itu apabila berjaya menjana pendapatan RM24.9 juta setakat 6 Oktober.

Menurutnya, seramai 60,504 pelancong berkunjung ke Langkawi sehingga 6 Oktober lepas dengan purata 16 penerbangan sehari ke pulau itu, manakala bagi laluan laut terdapat dua trip feri ke Langkawi masing-masing dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis serta dua trip untuk perkhidmatan feri RORO dari Kuala Perlis.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!