Perak capai 80 peratus vaksinasi dewasa

Dua daerah mencatat kadar vaksinasi tertinggi ialah daerah Manjung sebanyak 88.3 peratus dan Hulu Perak dengan 84.9 peratus. - Foto fail Bernama
Dua daerah mencatat kadar vaksinasi tertinggi ialah daerah Manjung sebanyak 88.3 peratus dan Hulu Perak dengan 84.9 peratus. - Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Perak sudah mencapai 80 peratus vaksinasi lengkap Covid-19 bagi penduduk dewasa pada Isnin.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin, jumlah vaksinasi lengkap penduduk di negeri ini pada ketika ini ialah sebanyak 80.2 peratus.

Data yang dikeluarkan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Perak itu menunjukkan daerah Kampar mempunyai kadar vaksinasi lengkap tertinggi di negeri ini iaitu sebanyak 103.4 peratus.

Dua lagi daerah mencatat kadar vaksinasi tertinggi ialah daerah Manjung sebanyak 88.3 peratus dan Hulu Perak dengan 84.9 peratus.

Selain itu, empat daerah mencatatkan peratusan vaksinasi lengkap melebihi 80 peratus iaitu Hilir Perak, Muallim, Perak Tengah dan Batang Padang, manakala lima lagi daerah belum mencapai 80 peratus dengan Kerian paling rendah iaitu 68.6 peratus.

"Alhamdulillah, Perak sudah melepasi 80 peratus vaksinasi.

"Terima kasih kepada semua yang memberi kerjasama, khususnya petugas barisan hadapan," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Menerusi kenyataan sama, kadar vaksinasi untuk satu dos yang diterima penduduk dewasa di negeri ini pula mencatatkan sebanyak 94.8 peratus.

Artikel Berkaitan:

Dari segi jumlah penduduk dewasa yang mendaftar untuk menerima vaksin, seramai 1.63 juta bersamaan 87.9 peratus telah berbuat demikian.