MOSTI bangunkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Startup

DR ADHAM BABA
DR ADHAM BABA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang membangunkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Startup dengan sasaran mewujudkan 5,000 syarikat termasuk lima syarikat bertaraf unicorn menjelang 2025.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebuah platform komprehensif dikenali sebagai MyStartup juga akan diwujudkan sebelum akhir tahun ini bagi tujuan tersebut sekali gus merancakkan lagi pembangunan syarikat-syarikat startup di Malaysia.

“Ini dapat dicapai menerusi ekosistem yang menghubungkaitkan pelbagai agensi dan kementerian berkaitan dalam aspek seperti pembiayaan, latihan dan bimbingan,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara di sini pada Isnin.

Istilah 'unicorn' merujuk kepada syarikat pemula persendirian yang mempunyai nilai lebih AS$1 bilion.

Dr Adham berkata, Malaysia telah mempunyai sebuah syarikat bertaraf unicorn iaitu Carsome Malaysia dengan syarikat tersebut telah mendapat pembiayaan sebanyak RM14 juta daripada MOSTI melalui MAVCAP Berhad.

“Syarikat ini juga telah mendapat pembiayaan daripada pelbagai agensi modal teroka seperti 500 Startup dan Gobi Partners yang membolehkan mereka menembusi dan memperluaskan rangkaian ke pasaran serantau seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.

“Malaysia juga mempunyai sebuah syarikat tempatan yang sedang berkembang maju dalam perkhidmatan dron iaitu AeroDyne Group Malaysia,” katanya.

Memperincikan perkara itu, Dr Adham berkata, MOSTI melalui agensi pembiaya di bawahnya telah membuat pelaburan secara kolektif sebanyak RM25 juta kepada Aerodyne.

Artikel Berkaitan:

“Sejak pelaburan MOSTI ini, Aerodyne telah berkembang dari kedudukan kelima di dunia untuk menjadi penyedia perkhidmatan remote-sensing dron nombor satu di dunia sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Drone Service Provider Ranking 2021 Report,” katanya.

Mengenai pengiktirafan sijil vaksinasi antara Malaysia dan Singapura, beliau berkata, MOSTI bersama-sama Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar Negeri dan Agensi Keselamatan Siber Negara telah mengadakan beberapa perbincangan teknikal dengan pihak Singapura berkenaan pengiktirafan sijil vaksinasi secara timbal balas.

“Pengiktirafan sijil vaksinasi tersebut telah dipersetujui kedua-dua negara pada 6 Julai lepas, namun polisi dan teknologi berkaitan sedang diperhalusi supaya dapat diguna pakai semasa pembukaan sempadan negara nanti,” katanya. - Bernama