X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

IWK ambil alih 191 loji rawatan kumbahan di Johor

Narendran (kiri) bersama Zulkiflee (kanan) merakam kenangan bersama Tuan Ibrahim (dua dari kiri) bersama Hasni pada majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi Bagi Pengambilalihan Sistem Pembentungan Awam di Kawasan Majlis Bandaraya Johor Bharu dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A

PETALING JAYA - Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Johor bersetuju menjalin kerjasama bagi menaik taraf dan meningkatkan mutu perkhidmatan pembetungan di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama itu melibatkan penyerahan perkhidmatan pembetungan di kedua-dua kawasan tersebut kepada Indah Water Konsortium Sendirian Berhad (IWK) yang merupakan syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan dan agensi di bawah kawal selia Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Beliau berkata, melalui kerjasama tersebut, IWK akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan 191 loji rawatan kumbahan melibatkan 147 di MBJB serta 44 di MBPG bermula 1 Disember ini, membabitkan populasi setara (PE) sebanyak 1.46 juta penduduk selain menyediakan perkhidmatan menyahenap cemar kepada kira-kira 293,236 buah tangki septik individu serta tangki tradisional di kedua-dua kawasan.

"Melalui kolaborasi ini juga, mutu dan kualiti perkhidmatan pembetungan khasnya dari aspek pematuhan kepada standard pelepasan efluen terawat Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta kualiti perkhidmatan dapat ditingkatkan.

"Pengalaman dan kepakaran teknikal IWK sebagai syarikat pembetungan negara mampu memastikan aset-aset pembetungan dioperasi serta diselenggara secara optimum sekaligus mengurangkan ganggu kacau kepada penduduk dan menyokong kelestarian alam sekitar.

"Inisiatif ini juga dapat mengurangkan punca sumber air oleh efluen yang tidak dirawat dengan sempurna ke atas 18 sungai utama termasuk Sungai Skudai, Sungai Kim-Kim dan Sungai Masai," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian perjanjian kolaborasi bagi pengambilalihan sistem pembetungan Johor Baharu dan Pasir Gudang di Eastin Hotel disini pada Isnin.

Perjanjian kolaborasi tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Johor Special Water (JSW), Zulkiflee Haji Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Encik Narendran Maniam sambil disaksikan oleh Tuan Ibrahim bersama Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, melalui kerjasama tersebut, MBJB dan MPPG juga Iayak mendapat geran daripada kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan pembetungan seperti baik pulih Ioji, sistem penyaluran serta pembinaan rawatan kumbahan berpusat.

Jelasnya, beliau yakin dengan adanya sinergi antara IWK dan JSW serta sokongan daripada pihak KASA, kerajaan Johor, SPAN dan JAS, langkah pemodenan sistem perkhidmatan pembetungan di MBJB dan MBPG dapat dicapai selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Agenda Transformasi Sektor Air Negara 2040, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!