Penyatuan UMNO-Pas buka lembaran baharu: Khaled

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penyatuan UMNO-Pas bukan 'sumbang mahram' seperti yang disifatkan oleh Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Rais Hussin Mohamed Ariff.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyatuan UMNO-Pas merupakan pembukaan lembaran baharu terhadap usaha rentas parti.

"Tindakan Rais sangat tidak berhikmah dan menunjukkan ketidakfahaman yang kronik dalam Bersatu terhadap senario politik jangka panjang Melayu-Muslim di negara ini," katanya di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Rais pastinya tidak melihat penyatuan UMNO-Pas dalam konteks lebih besar kerana dia tahu dampak penyatuan ini pada Bersatu, dan jangan heret analogi sumbang mahram yang tidak kena itu.

"Rais mesti fikirkan kembali tentang perpecahan kuasa politik Melayu-Islam dan masa depan orang Melayu," katanya.

Beliau berkata, UMNO-Pas bergerak demi pengupayaan bangsa dan untuk kebaikan semua malah hanya yang berani sahaja mampu mereka sejarah penting itu.

Katanya, UMNO-Pas telah menemui formula yang ampuh untuk memandu kebangkitan orang Melayu di tanah mereka sendiri.

"Nasionalisme Melayu, dipacu dengan agama Islam serta penekanan terhadap kepentingan pendidikan dan ekonomi akan terus menjadi penyelesaian kepada permasalahan mendatang.

Artikel Berkaitan:

"Dulu, naratif nasionalisme dan pembangunan UMNO serta naratif Islam dan konservatif Pas tidak pernah dan seakan mustahil untuk disatukan. Inilah masa kita bersatu dan membawa kembali kebaikan kepada bangsa.

"Sampai bila mahu memecah-belahkan bangsa sendiri? Kita mesti bersama-sama untuk memberikan sumbang saran agar idea terbaik dapat diterjemahkan kepada kebaikan bangsa dan negara," katanya.

Mohamed Khaled berkata, kunci kesedaran politik Melayu yang sebenar selama ini adalah dimiliki dua parti gergasi Melayu dan Muslim iaitu UMNO-Pas, bukannya pada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti dilabelkan penyokongnya.

Terdahulu, media melaporkan kenyataan Rais yang menyifatkan 'persandingan' UMNO-Pas sebagai 'sumbang mahram'.

Ia sebagai merujuk kiasan yang dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan pertemuan kedua-dua parti di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam sebagai 'persandingan'.