Terengganu sasar 1.5 juta pelancong

Ariffin (empat dari kiri) meletakkan pendayung pada perahu ditempatkan di Kalang Warisan selepas merasmikan Program Gotong Royong Mengindahkan Produk Pelancongan Berasaskan Komuniti Daerah Kuala Terengganu pada Isnin.
Ariffin (empat dari kiri) meletakkan pendayung pada perahu ditempatkan di Kalang Warisan selepas merasmikan Program Gotong Royong Mengindahkan Produk Pelancongan Berasaskan Komuniti Daerah Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu menyasarkan kehadiran seramai 1.5 juta pelancong ke Terengganu sehingga Disember nanti selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula Isnin.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, beliau percaya sasaran itu dapat dicapai dalam tempoh dua bulan akan datang berikutan keterujaan rakyat untuk pulang ke kampung dan bercuti bersama keluarga setelah sekian lama terkurung di rumah.

"Kita sudah bersedia menerima kehadiran pelancong dan saya difahamkan tempahan hotel, rumah rehat dan inap desa khususnya di Kuala Terengganu mendapat sambutan tinggi selepas kerajaan umumkan kebenaran rentas negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong Royong Mengindahkan Produk Pelancongan Berasaskan Komuniti Daerah Kuala Terengganu di Kalang Warisan, di sini pada Isnin.

Menurut Ariffin, sebahagian besar lokasi pelancongan popular di Terengganu seperti Taman Tamadun Islam (TTI), Kampung Budaya di Muzium Negeri dan Jambatan Angkat (Drawbridge) sudah dibuka kepada orang ramai secara berperingkat.

Beliau berkata, kawasan pulau seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Pulau Lang Tengah juga bersedia menerima kunjungan pelancong yang ingin menikmati percutian menggembirakan.

"Kita sedar Terengganu makin menghampiri musim tengkujuh namun masih ada pengusaha pelancongan di pulau masih beroperasi seperti biasa, jadi tiada masalah untuk bercuti ke sana.

"Jika tidak mahu ke pulau, pelancong boleh ke lokasi lain terutama Tasik Kenyir di Hulu Terengganu kerana banyak aktiviti pelancongan boleh dilakukan di sana walaupun ketika musim tengkujuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ariffin turut berharap kehadiran ramai pelancong nanti dapat meningkatkan kembali ekonomi penggiat industri pelancongan Terengganu yang sebelum ini terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya juga harap, semua pihak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelak jangkitan Covid-19," katanya.