MOTAC mahu kembali keyakinan pelancong terhadap keselamatan negara

Nancy
Nancy
A
A
A

SHAH ALAM - Salah satu fokus yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Pelancongan (PPP) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memulihkan kembali sektor pelancongan adalah untuk mengembalikan keyakinan pelancong terhadap tahap keselamatan di sesuatu destinasi pelancongan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, MOTAC kini dalam usaha bagi memastikan sektor pelancongan negara mampu menjana semula pendapatan secara berterusan.

Menurutnya, MOTAC juga akan terus merangka kempen promosi yang lebih agresif dan strategik bagi merancakkan kembali sektor pelancongan negara.

“Saya berharap dengan pelaksanaan pembukaan rentas negeri ini, ia boleh bantu memulihkan kembali sektor pelancongan, seni dan budaya seterusnya dapat membina kembali kekuatan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, pengumuman terbaharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan khabar gembira yang telah lama dinanti seluruh penggiat industri yang terlibat.

Katanya, ia sekali gus dapat menjamin kelangsungan hidup pekerja-pekerja dalam rantaian sektor itu yang telah lama terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, MOTAC juga ingin menggalakkan pengunjung yang ingin melakukan aktiviti pelancongan agar menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

“Tindakan ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan untuk memutuskan rantaian dan mengawal penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan: