Jumlah trafik dijangka meningkat 4 juta sehari: LLM

LLM menjangkakan jumlah trafik akan meningkat kepada 4 juta kenderaan sehari terutamanya pada cuti hujung minggu dan cuti umum Maulidur Rasul pada 19 Oktober ini.
LLM menjangkakan jumlah trafik akan meningkat kepada 4 juta kenderaan sehari terutamanya pada cuti hujung minggu dan cuti umum Maulidur Rasul pada 19 Oktober ini.
A
A
A

KAJANG - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah trafik akan meningkat kepada 4 juta kenderaan sehari terutamanya pada cuti hujung minggu dan cuti umum Maulidur Rasul pada 19 Oktober ini, berbanding 3.5 juta kenderaan sehari pada masa kini.

Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Mohd Shuhaimi Hassan berkata, susulan itu, pihaknya telah bersiap sedia sepenuhnya dan mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya setelah kebenaran pergerakan rentas negeri bermula pada Isnin.

“Bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik, LLM telah mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya untuk menjadualkan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan mengelakkan pelaksanaan penutupan lorong.

“Ia terutamanya membabitkan Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya Kajang Seremban semasa cuti hujung minggu atau cuti umum bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya.

“Persediaan rapi juga perlu dilakukan di plaza tol bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan semasa melakukan transaksi di plaza tol,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat pengendali lebuh raya juga diarahkan untuk melakukan persiapan bagi memastikan semua kawasan rehat dan rawat serta hentian sebelah sepanjang lebuh raya berada dalam keadaan baik dan teratur serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan penularan virus Covid-19.

LLM juga katanya, menasihatkan pengguna agar memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan dan memastikan baki kad ‘touch and go’ mencukupi, selain merancang serta mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.

“Pastikan juga semua pihak mematuhi SOP ditetapkan oleh MKN dan KKM iaitu pemakaian pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial, penggunaan surau dan tandas serta merekodkan pergerakan menerusi aplikasi MySejahtera terutamanya apabila berada di kawasan rehat dan rawat atau hentian sebelah.

Artikel Berkaitan:

“Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia di talian 1- 800 - 88 -7752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik atau bantuan.

“Maklumat keadaan trafik juga boleh diperoleh menerusi laman Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMinfotrafik,” jelasnya.