Mayat nelayan ditemui bapa sendiri

Mayat Mohamad Farhan dipangku oleh Abdul Razak. (Gambar kecil: Allahyarham Mohamad Farhan)
Mayat Mohamad Farhan dipangku oleh Abdul Razak. (Gambar kecil: Allahyarham Mohamad Farhan)
A
A
A

TUMPAT - [DIKEMAS KINI] Seorang nelayan yang dipercayai terjatuh dari bot ketika memukat ikan ditemukan lemas oleh bapa sendiri di perairan Pantai Sri Tujuh di sini pada awal pagi Isnin.

Mayat mangsa, Mohamad Farhan Abdul Razak, 23, ditemui pada jam 4 pagi.

Adik mangsa, Nur Ayuni Abdul Razak, 22, berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu bersama bapanya, Abdul Razak Ismail, 59, keluar menangkap ikan dengan menaiki dua bot berasingan.

Katanya, rutin harian dua beranak itu keluar dari rumah di Kampung Baru Nelayan pada jam 2 pagi untuk menangkap ikan di perairan Pantai Sri Tujuh.

“Saya menerima panggilan daripada rakan bapa yang turut sama berada di tempat kejadian memaklumkan abang lemas.

“Saya dan ibu terus bergegas ke Jeti Pantai Sri Tujuh dan melihat mayat abang sudah berada di jeti sambil dipangku oleh bapa,” katanya sebak ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Ujarnya, Allahyarham sebelum itu ada memberitahu kawan perempuannya ketika berbual melalui telefon secara berulang kali bahawa dia ingin pergi ke satu ‘tempat’ dan terus balik.

“Kami tak faham maksud kata-kata dia namun mungkin itu sebenarnya petanda dia akan meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

“Dia abang yang baik, pemurah, berdikari dan amat penyayang terhadap kucing. Semua perkara dilakukan sendiri. Kalau rumah kami tidak ada lauk, abang akan beli ikan atau nasi bungkus

“Dia juga selalu membelikan makanan kepada 15 ekor kucing peliharaan kami,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.30 pagi.

Mohd Razi Rosli
Mohd Razi Rosli

“Lokasi mayat dijumpai kira-kira 13 batu nautika dari jeti Pantai Seri Tuju dan dibawa balik oleh bapa arwah sendiri ke jeti Pantai Seri Tujuh.

“Tiada saksi melihat mangsa terjatuh namun ternampak bot berpusing di tengah laut,” katanya.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati tidak ada unsur jenayah di tubuh mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari bot semasa menangkap ikan. Mayat dihantar ke Hospital Kelaboran, Tumpat untuk bedah siasat,” katanya.