2 minit lesap RM400,000!

Tiga lelaki bertopeng memasuki premis ini dan melarikan empat dulang berisi pelbagai jenis barang kemas.
Tiga lelaki bertopeng memasuki premis ini dan melarikan empat dulang berisi pelbagai jenis barang kemas.
A
A
A

KAJANG - Sekumpulan penjenayah mengambil masa kira-kira dua minit sebelum melarikan barang kemas dianggar bernilai RM400,000 dalam satu kejadian samun di sebuah pasar raya di Taman Segar Perdana, Batu 9, petang tadi.

Dalam kejadian kira jam 2.58 petang, tiga lelaki bertopeng memasuki premis berkenaan sebelum dipercayai melarikan empat dulang berisi pelbagai jenis barang kemas di bahagian kaca pameran.

Difahamkan, ketika kejadian hanya dua pekerja kedai emas berkenaan berada di premis terbabit.

Suspek yang berjaya menyamun barang kemas itu kemudian melarikan diri.

Namun sebuah motosikal yang dipercayai milik suspek ditemui di pintu masuk pasaraya berkenaan. Hasil siasatan mendapati nombor pendaftaran pada motosikal itu palsu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika berkata, suspek bersenjatakan objek menyerupai sepucuk pistol dan telah melarikan empat dulang emas.

"Tiada sebarang tembakan dilepaskan dan mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan di dalam kejadian ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi di talian 019-6655811.