Mengapa mahu jadi seperti peguam, soal Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR – Selepas rayuan usul mendesak Pandora Papers dibahaskan di Dewan Rakyat ditolak, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan sikap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang seperti mahu menjadi peguam kepada mereka yang terlibat.

Tegas Anwar, apa yang dimahukannya adalah isu Pandora Papers ini dibentang dan dibahaskan.

“Saya tidak faham Yang Dipertua (mahu) menjadi peguam bela kepada orang-orang ini. Saya nak supaya perkara ini dibentang dan dibahas.

“Kalau betul ada lima 'pound', lima 'pound' lah. Tetapi yang kita tahu maklumat yang ada itu jauh melebihi. Jangan tanya sumber saya, sumber saya bukan sekadar Yang Dipertua baca daripada media walaupun ia terbatas.

“Sumber saya Alhamdulillah lebih daripada itu. Sebab itu saya nak bawa isu ini supaya Parlimen membahaskan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Azhar sebelum itu memberikan sebab mengapa beliau menolak usul yang mahu dibahaskan oleh Anwar mengenai Pandora Papers.

Azhar menjelaskan, beliau menolak usul Anwar kerana aturan mesyuarat yang patut digunakan oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu ialah Aturan 43 di mana bagi membolehkan Dewan Rakyat membuat penilaian kepada keputusannya.

Beliau berkata, apa yang diperolehinya bukannya mengenai Aturan 43 tetapi usul peraturan mesyuarat 90 (1) dan 90 (2).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Azhar berkata, sepanjang pengetahuannya, Pandora Papers bukannya mengenai penyorokan atau pengeluaran wang berbilion ringgit daripada negara ini ke luar pesisir.

“Ia mengenai pendedahan, pemegangan saham di dalam syarikat-syarikat luar pesisir. Itu dua perkara yang berlainan.

“Malah saya nampak pegangan syer mengikut kenyataan-kenyataan di luar sana kecil sahaja bukan berbilion ringgit. Ada yang 5 pound saya baca,” katanya.

Azhar pada masa sama turut menjelaskan bahawa beliau bukannya mahu menjadi peguam.

“Saya cuma mahu menetapkan fakta. Yang berhormat kata keluar ratusan bilion. Tetapi Kertas Pandora bukan mengenai pengeluaran wang ratusan bilion.

“Itu saya ingin memperbetulkan. Bukan saya nak menjadi peguam, saya dah lama tidak menjadi peguam,” jelasnya.