Kaji semula keputusan murid pindah sekolah

Salmee Said, Laporan Sinar Harian mengenai bantahan ibu bapa dan waris yang disiarkan pada Isnin.
Salmee Said, Laporan Sinar Harian mengenai bantahan ibu bapa dan waris yang disiarkan pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan diminta mengkaji semula keputusan memindahkan murid Sekolah Kebangsaan Bukit Meriam (SKBM), Kota Kuala Muda berikutan tentangan ibu bapa dan waris.

Pengerusi Biro Pendidikan Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Dr Salmee Said berkata, penyelesaian segera perlu diambil dengan mengambil kira luahan dan masalah yang dihadapi.

Beliau yang juga bekas Exco Pendidikan Negeri Kedah berkata, isu terbabit telah dimaklumkan kepadanya sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini dan telah dibangkitkan untuk perhatian kerajaan.

"Saya telah bangkitkan dalam sidang DUN mengenai keputusan perpindahan yang tidak dipersetujui ibu bapa dan waris dengan pelbagai alasan yang kerajaan perlu pertimbangkan," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Bantah murid kena tukar sekolah

Menurutnya, susulan pendedahan itu, Exco Pendidikan Kedah, Brigadier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad memaklumkan kepada beliau bahawa perjumpaan telah dilakukan dengan wakil waris dan beberapa agensi kerajaan sebelum keputusan dibuat.

"Bagaimanapun, kita nak kerajaan kaji semula kerana dimaklumkan pelbagai masalah dihadapi waris termasuk isu pengangkutan kerana kebanyakan murid dihantar ke sekolah menggunakan motosikal dan basikal sahaja," dakwanya.

Beliau berharap kerajaan mendengar luahan rakyat dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkara itu perlu tindakan segera bagi mengelakkan murid ketinggalan dalam pelajaran sebagai persediaan sekiranya sesi persekolahan di Kedah dibuka semula dalam masa terdekat.

Sinar Harian pada Isnin menyiarkan laporan bantahan yang dibuat ibu bapa dan waris berhubung tindakan kerajaan memindahkan murid SKBM ke SKSK, Kota Kuala Muda dengan beberapa alasan yang dibangkitkan.

Difahamkan, keputusan perpindahan dibuat berikutan faktor keselamatan kerana kedudukan sekolah yang tidak jauh dari kawasan cerun bukit.