Op Samseng Jalanan sita motosikal guna tayar sotong

Mohd Kamarul (tengah) melihat motosikal yang disita selepas berakhirnya Op Samseng Jalanan pada malam Ahad.
Mohd Kamarul (tengah) melihat motosikal yang disita selepas berakhirnya Op Samseng Jalanan pada malam Ahad.
A
A
A

KUANTAN – Penggunaan tayar sotong dalam pengubahsuaian motosikal antara kesalahan yang dikesan dalam Op Samseng Jalanan di sekitar Jalan Pantai Sepat, di sini pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri Pahang, Superintendan Mohd Kamarul Jusoh @ Mohd Daud berkata, tayar jenis itu banyak digunakan golongan remaja.

"Bagaimanapun penggunaan tayar itu tidak mematuhi piawaian ditetapkan dan mengundang risiko kepada keselamatan diri dan pengguna jalan raya," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya OP Samseng Jalanan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Trafik Kuantan pada malam Ahad.

Beliau memberitahu, kesalahan lain yang dikesan dalam operasi itu termasuk pengubahsuaian ekzos, tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai plat nombor kenderaan, tidak memakai topi keledar dan pelbagai kesalahan lain.

Menurutnya, sebanyak 65 kenderaan diperiksa dan 48 daripada disita dan disiasat di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kita juga telah mengeluarkan sebanyak 189 saman termasuk lima daripada mereka di bawah umur," katanya

Operasi itu diadakan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Trafik Daerah melibatkan enam pegawai dan 24 anggota dari Kuantan, Rompin, Temerloh, Maran dan Kuala Lipis.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak mereka kerana kebanyakan remaja tidak mempunyai lesen memandu dan menunggang motosikal secara berkumpulan tanpa mengikut undang-undang.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai diminta menyalurkan aduan kepada balai polis terdekat atau berhubung menerusi Facebook bagi informasi kegiatan jenayah kepada pihak berkuasa,” katanya.