Misi aktor usia 90 tahun ke angkasa lepas ditangguhkan

William Shatner - Foto AFP
William Shatner - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Syarikat Blue Origin pada Ahad mengumumkan misi yang membawa aktor yang pernah melakonkan watak Kapten T Kirk dalam siri televisyen 'Star Trek', William Shatner ke angkasa lepas ditangguhkan kepada Rabu ini.

Misi ke angkasa lepas itu sepatutnya dilancarkan pada Selasa tetapi terpaksa ditangguhkan disebabkan oleh masalah angin.

Shatner merupakan pelakon pertama dalam siri televisyen terkenal itu yang akan menaiki roket Blue Origin ke angkasa lepas.

Jika dia berjaya pergi ke angkasa lepas, pelakon itu akan menjadi manusia paling tua berbuat demikian ketika berumur 90 tahun.

Setakat ini, seorang wanita Amerika Syarikat, Wally Funk menjadi individu tertua pergi ke angkasa lepas ketika dia berumur 82 tahun.

Funk yang juga bekas juruterbang pergi ke angkasa lepas pada Julai lalu bersama pengasas syarikat Blue Origin iaitu seorang bilioniar dan manusia paling kaya di Bumi, Jeff Bezos.

Dua orang lagi turut pergi ke angkasa lepas bersama mereka iaitu adik Bezos, Mark dan seorang pelajar berusia 18 tahun dan anak kepada seorang ahli perniagaan terkenal Belanda.

Shatner akan pergi ke angkasa lepas dengan menaiki sebuah roket syarikat tersebut dari sebuah gurun di Texas.

Artikel Berkaitan:

Dia akan berada di angkasa lepas selama kira-kira 10 minit dan terbang kira-kira 100 kilometer dari Bumi.

Pelakon itu akan pergi ke angkasa lepas bersama naib presiden misi penerbangan syarikat itu, Audrey Powers, bekas jurutera Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Chris Boshuizen dan pengasas bersama platform Medidata Solutions, Glen de Vries. - Agensi