Harap RCI ditubuhkan siasat dakwaan Tommy

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Negara memerlukan jawapan kepada persoalan di sebalik pendedahan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dalam buku memoirnya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ sama ada 'disengajakan' atau 'tidak disengajakan'.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan tersebut.

“Ini kerana dakwaan yang diterbit dalam buku itu merupakan suatu yang sangat serius melibatkan maruah serta keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.

“Dakwaan mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik oleh pentadbiran kerajaan 22 bulan,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya pada Isnin.

Pada awal tahun ini, Tommy dalam bukunya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ membuat pendedahan menggemparkan mengenai campur tangan politik khususnya dalam institusi Peguam Negara.

Pada Sabtu, Kabinet turut bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi melakukan kajian awal sebelum tindakan diambil terhadap dakwaan Tommy itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pihaknya dimaklumkan fokus utama pasukan petugas khas itu dalam tempoh enam bulan pertama memberi fokus mengenai kajian awal itu.

“Sebab itu, sebelum ini kita mengharapkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat perkara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“RCI adalah badan siasatan paling tinggi dalam negara dan syor-syor yang dikeluarkan hasil siasatan RCI perlu dipatuhi,” ujarnya.

Beliau berkata, ratusan laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak termasuk daripada UMNO bagi mendesak perkara itu disiasat.

“Persoalan yang terungkai malah berpotensi menjawab kepada lebih banyak persoalan kepada apa yang berlaku selepas tarikh 9 Mei 2018.

“Tetapi kerajaan baharu sekurang-kurangnya telah memulakan langkah untuk menyiasat perkara itu berbanding kerajaan terdahulu.

“Semoga kebenaran akhirnya terserlah,” katanya di media sosial itu.