Pelakon, pengarah, penolong pengarah direman dua hari

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang pelakon lelaki bersama seorang pengarah dan penolong pengarah direman selama dua hari selepas disyaki terlibat penyalahgunaan dadah di sebuah inap desa di Chandan Putri di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pelakon berusia 28 tahun dan dua yang lain itu direman bermula Isnin.

Menurutnya, serbuan kira-kira jam 7.15 pagi yang dilakukan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar itu turut menemukan dadah bernilai RM270.

"Hasil pemeriksaan fizikal dalam bilik suspek pertama menjumpai dadah jenis kanabis seberat 1.15 gram.

"Polis turut menemui dadah jenis kabanis seberat 0.3gram di atas lantai bilik kedua manakala dadah jenis methamphetamin seberat 0.38 gram ditemui di bilik ketiga," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon, pengarah, penolong pengarah ditahan positif dadah

Omar Bakhtiar berkata, siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Ujian saringan urin mendapati suspek pertama dan kedua positif jenis tetra hydrocannibol (THC) manakala suspek ketiga positif methamphetamin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, polis akan terus melaksanakan operasi membanteras aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di daerah itu dari masa ke masa.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelakon ditahan bersama seorang pengarah dan penolong pengarah kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar pagi Ahad.

Pengarah dan penolong pengarah itu masing-masing dikatakan berusia 49 dan 47 tahun.