Institusi bank perinci pengecualian faedah penerima moratorium

Yamani Hafez Musa. - Foto Bernama
Yamani Hafez Musa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Institusi perbankan sedang memperincikan pengecualian faedah melibatkan penerima moratorium dari kumpulan 50 peratus ke bawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia seperti yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, ia berikutan kesan langkah ini ke atas kedudukan kewangan mereka dan terhadap kepentingan pemegang saham bank-bank tersebut.

“Susulan perbincangan ini, satu rumusan yang boleh dilaksanakan akan diusahakan dan diumumkan kelak.

“Ingin saya tekankan bahawa kerajaan sentiasa prihatin mengenai masalah yang dihadapi oleh rakyat dan akan mempertimbangkan apa jua cadangan yang dikemukakan.

“Namun begitu, sebarang bentuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan haruslah berhemah, setara dan mengambil kira kesan jangka masa panjang terhadap pelbagai faktor dan pihak yang berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang bertanyakan bila jangkaan pemansuhan faedah terakru akan dapat diputuskan oleh Kementerian Kewangan dan adakah inisiatif moratorium akan dilanjutkan untuk satu tempoh yang bersesuaian tanpa faedah terakru.

Yamani dalam masa yang sama turut menjelaskan bahawa bank-bank mempunyai obligasi untuk menerangkan tentang impilikasi bantuan bayaran balik pinjaman terhadap tempoh dan kos keseluruhan pinjaman kepada peminjam.

“Yang penting, apabila kedudukan kewangan peminjam bertambah baik, mereka boleh berbincang dengan bank-bank untuk membayar balik pinjaman dengan lebih cepat. Ini seterusnya akan mengurangkan kos keseluruhan pinjaman,” katanya.

Artikel Berkaitan: