LZNK institusi zakat pertama tubuh CDERT

Zakaria (kanan) menerima watikah sebagai Kolonel Bersekutu (PA) pada Majlis Penyerahan Watikah Pegawai Bersekutu APM dan Pelancaran CDERT Zakat Kedah di Wisma Zakat, Alor Setar pada Ahad.
Zakaria (kanan) menerima watikah sebagai Kolonel Bersekutu (PA) pada Majlis Penyerahan Watikah Pegawai Bersekutu APM dan Pelancaran CDERT Zakat Kedah di Wisma Zakat, Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menjadi institusi zakat pertama di Malaysia memiliki Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) di bawah seliaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Zakaria Othman berkata, penubuhan pasukan dikenali sebagai CDERT Zakat Kedah itu bagi tujuan memudahkan urusan agihan zakat kepada penduduk di Kedah.

Zakaria berkata, CDERT Zakat Kedah ditubuhkan bagi mewujudkan anggota sukarelawan dalam kalangan kakitangan LZNK, sekali gus membolehkan mereka terlibat secara langsung dalam apa jua misi bantuan dan bencana yang berlaku di Kedah.

"Antara matlamat penubuhan CDERT Zakat Kedah adalah bagi memudahkan agihan zakat di lapangan terutamanya dalam kawasan zon merah ketika bencana.

"Selain itu, CDERT Zakat memiliki hasrat untuk menubuhkan Sekolah Watak APM Zakat Kedah (KASPA) pertama di Malaysia," katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pegawai Bersekutu APM dan Pelancaran CDERT Zakat Kedah di Wisma Zakat, di sini pada Ahad.

Menurut Zakaria, melalui KASPA, LZNK berhasrat menjadikan pelajar sekolah zakat sebagai sekolah berwatak APM yang menerapkan sikap dan nilai disiplin, malah mereka juga akan turun padang bersama kakitangan sekolah zakat dalam misi bantuan ketika bencana

Beliau memberitahu, penubuhan CDERT di agensi kerajaan, swasta dan badan berkanun terpilih akan dapat membantu jabatan berkaitan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan semasa keadaan kecemasan atau bencana yang memerlukan perkhidmatan pertahanan awam.

Sebelum itu, seramai 28 orang termasuk kakitangan LZNK, pengurusan Sekolah Zakat Kedah dan pengarah hospital menerima watikah pelantikan sebagai Pegawai Bersekutu APM yang disempurnakan Ketua Pesuruhjaya (PA) Malaysia, Datuk Roslan Wahab.

Artikel Berkaitan:

Zakaria mendahului senarai penerima watikah sebagai Kolonel Bersekutu (PA) APM.