Fokus baiki kelemahan bertahan

Skuad negara mencatat keputusan tidak memuaskan dalam dua aksi persahabatan Jordan dan Uzbekistan apabila dibolosi sembilan gol. - Foto Football Association of Malaysia
Skuad negara mencatat keputusan tidak memuaskan dalam dua aksi persahabatan Jordan dan Uzbekistan apabila dibolosi sembilan gol. - Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui kelemahan terutama dalam membendung asakan serangan lawan menjadi faktor utama skuad negara dibolosi sembilan gol dalam dua aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan.

Menurutnya, benteng pertahanan tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya dengan tanggungjawab bertahan juga perlu digalas semua pemain dalam satu pasukan.

Malah, beliau mengakui kelemahan tersebut sudah tentu menjadi tumpuan utamanya untuk diperbaiki menjelang aksi kejohanan Piala AFF pada Disember dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia pada Januari tahun depan.

"Memang kita nampak statistik yang tidak memuaskan bukan sahaja kami barisan jurulatih tetapi juga semua orang mempertikaikan dua perlawanan tersebut apabila kita dibolosi sembilan gol.

"Adakah ia disebabkan oleh pertahanan atau keseluruhan pasukan atau kesilapan individu yang kita perlu perbaiki? Sudah tentu dalam perlawanan antarabangsa seperti ini, jika pasukan tidak dapat bergerak sebagai satu pasukan, tidak dapat membuat hantaran yang tepat dan sering hilang bola kita akan ditekan oleh lawan.

"Sebab itu kita tidak dapat bertahan sehingga 90 minit. Saya sentiasa beri nasihat kepada pemain supaya tingkatkan permainan, kawalan bola kita dan juga hantaran yang penting apabila kita dapat rampas bola.

"Dalam bola sepak moden transisi itu cepat dalam dua tiga saat sahaja. Jika buat kesilapan dalam hantaran kita akan dihukum. Itulah apa yang kita nampak dua perlawanan ini dan banyak lagi yang kita perlu pelajari," katanya dalam sidang media secara maya pada Ahad.

Skuad negara mencatat keputusan tidak memuaskan dalam dua aksi persahabatan apabila tewas kepada Jordan 0-4 dan kepada Uzbekistan 1-5 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium King Abdullah II, pada Rabu dan Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan banyak kerja rumah yang perlu dilakukan dalam usaha memantapkan pasukan selepas dua kekalahan besar tersebut.

"Kita tak boleh nak kata kita sudah capai objektif kerana jauh lagi untuk membandingkan kita dengan pasukan-pasukan dari Asia Barat dan Asia Tengah. Masih lagi perlu buat kerja-kerja rumah yang terbaik untuk persediaan menjelang Kelayakan Piala Asia 2023.

"Daripada dua perlawanan menentang Jordan dan Uzbekistan ini, nampak kita masih lagi memerlukan pemain-pemain yang lebih berpengalaman di medan antarabangsa dan pemain-pemain yang ada keinginan untuk meningkatkan prestasi mereka.

"Namun, beberapa pemain yang diuji pada kali ini, bukan saja Faisal Halim yang nampak menonjol dalam kedua-dua perlawanan, secara keseluruhan ada beberapa pemain yang boleh dipertimbangkan ke skuad Piala Suzuki AFF 2020, Disember ini dan Kelayakan Piala Asia 2023, tahun depan," katanya.