Rentas negeri: Peluang industri pelancongan kembali bernafas

Penggiat industri pelancongan di negara ini kembali bernafas selepas lebih dua tahun lumpuh akibat pandemik Covid-19. - Foto 123rf
Penggiat industri pelancongan di negara ini kembali bernafas selepas lebih dua tahun lumpuh akibat pandemik Covid-19. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Kebenaran merentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad memberi peluang kepada penggiat industri pelancongan di negara ini untuk kembali bernafas selepas lebih dua tahun lumpuh akibat pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, penggiat industri dijangka akan memulakan operasi seperti biasa bermula Isnin, bagaimanapun mengikut norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Bagi ahli-ahli kami yang terlibat dalam perhotelan, saya meminta agar mereka membuat saringan kendiri terhadap pekerja sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi memastikan tempat penginapan mereka bebas daripada Covid-19. Ini juga diguna pakai bagi kesemua penggiat pelancongan yang terlibat dengan orang ramai.

"Selain itu, MATA juga merakamkan syabas kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terutama kepada Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri yang bertungkus lumus mahu menghidupkan kembali industri pelancongan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Khalid berkata, MATA turut bersyukur dengan keputusan kerajaan untuk memansuhkan program MyTravel Pass.

“Program ini telah menyulitkan pengembara rakyat Malaysia yang mahu ke luar negara atas urusan perniagaan, pengajian dan sebagainya. Alhamdulillah, suara kami didengari oleh kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata, MATA turut menyarankan kepada orang ramai supaya melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum memulakan perjalanan sama ada dalam atau luar negara.

“Bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas adalah dinasihatkan untuk menangguhkan dahulu perjalanan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Dengan semua kelonggaran yang telah diumumkan Perdana Menteri, hakikatnya kita semua terpaksa hidup bersama virus Covid-19.

“Situasi ini bukan sahaja menuntut rakyat untuk terus mematuhi SOP, malah penting untuk meningkatkan penilaian kendiri demi melindungi semua,” kata beliau.