Kuching City guna tempoh rehat bina semula kekuatan

Kuching City menggunakan tempoh rehat sebulan untuk membina semula kekuatan pasukan bagi menempuh baki persaingan Piala Malaysia. - Foto Kuching City FC
Kuching City menggunakan tempoh rehat sebulan untuk membina semula kekuatan pasukan bagi menempuh baki persaingan Piala Malaysia. - Foto Kuching City FC
A
A
A

TEMPOH rehat selama sebulan bakal digunakan sepenuhnya Kuching City FC dalam membina semula kekuatan pasukan bagi menempuh baki persaingan Piala Malaysia selepas sekadar meraih satu mata daripada dua perlawanan awal Kumpulan B.

Pertahanan berpengalaman, Rames Lai Ben Huat, berkata, selepas melalui tempoh jadual perlawanan yang padat sejak dari saingan Liga Premier, dia melihat mereka mampu lebih bersedia dari segi kecergasan dan mental untuk terus berikan saingan.

Tambahnya, mereka menghormati kekuatan serta reputasi Terengganu FC dan Selangor FC tetapi menjelaskan tiada apa yang mustahil dalam saingan Piala Malaysia yang setakat ini memperlihatkan beberapa kejutan membabitkan pasukan pilihan.

“Dua perlawanan yang dilalui memperlihatkan kualiti yang dimiliki kami sebenarnya tidak berada jauh dengan pasukan di Liga Super malah kami hampir sebenarnya mampu menang semasa dengan Perak.

“Sayang sekali kami melepaskan jaringan pada 10 minit terakhir perlawanan, jika tidak kami sudah meraih tiga mata yang berharga serta kejayaan sulung kami di Piala Malaysia.

“Bagi perlawanan dengan Selangor nanti, saya rasakan pemain-pemain dijangka tampil lebih bersemangat lagi selepas mendapat tempoh rehat secukupnya dan kami sedia berikan kejutan kepada sesiapa sahaja yang kami temui.

“Dalam saingan Piala Malaysia, peluang semua pasukan sebenarnya adalah terbuka dan saya rasa kami tidak perlu rasa gentar dengan mana-mana pasukan yang akan ditemui terutama Terengganu atau Selangor,” katanya.

Pencapaian terbaik pemain berusia 41 tahun berkenaan setakat ini di Piala Malaysia adalah di peringkat separuh akhir pada musim 2013 bersama Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Kuching City terpaksa melalui 12 perlawanan dalam tempoh enam minggu ekoran rombakan jadual perlawanan, kesan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pemain dan pegawai sebelum aksi dengan Terengganu FC II pada Julai.

Selain itu, aksi dengan Kelantan United FC pada 11 September juga terpaksa dimainkan pada 26 September selepas terdapat dua pemain daripada pasukan lawan positif Covid-19.

Selain seri 2-2 dengan Perak, Kuching City tewas 0-2 kepada Terengganu pada perlawanan sulung dan kini berada di tangga terakhir Kumpulan B, berkongsi satu mata dengan Perak namun perbezaan gol menyebelahi skuad The Bos Gaurus.

Dalam pada itu, ketua pasukan, Joseph Kalang Tie, menekankan pemain-pemain Kuching City tidak perlu merasa merendah diri dengan reputasi serta nama-nama besar dimiliki pasukan lain dalam Kumpulan B.

“Berdasarkan pengalaman, sebenarnya prestasi antara semua pasukan tidak berada terlalu jauh cuma ada kalanya mentaliti sahaja yang membezakan.

“Sebagai contoh, jika berdepan dengan pasukan yang punyai reputasi besar seperti Terengganu dan Selangor, ada kalanya timbul perasaan terlalu rasa hormat yang membuatkan mereka sukar berikan saingan.

“Jadi, pemain-pemain perlu percaya atas kemampuan diri sendiri yang mereka boleh menang jika tampil prestasi terbaik pada hari perlawanan.

“Selepas musim lalu berjaya cipta sejarah ke Piala Malaysia (kejohanan dibatalkan ekoran Covid-19), saya harap kali ini kami mampu melakar sesuatu yang lebih bermakna buat Kuching City,” katanya.