UMNO bincang krisis politik Melaka dalam MKT

Ahmad (tiga,kanan) ketika sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan pemimpin UMNO negeri di Klebang, pada malam Ahad.
Ahmad (tiga,kanan) ketika sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan pemimpin UMNO negeri di Klebang, pada malam Ahad.
A
A
A

MELAKA - Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan mengadakan mesyuarat khusus bagi membincangkan situasi politik di Melaka pada Khamis ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO akan melaporkan serta membincangkan keadaan politik di negeri ini kepada MKT.

Menurutnya, presiden timbalan presiden, naib-naib presiden termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberikan pandangan kaedah apa yang akan dilakukan di Melaka.

"Majlis Kerja Tetinggi UMNO pada 14 Oktober ini antara lain membincangkan perkara khusus tentang Melaka dan apakah perkara yang kita akan lakukan selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan pemimpin UMNO negeri di Klebang, pada malam Ahad.

Hadir sama, Ab Rauf, Sulaiman dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Ditanya mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, parti akur dengan apa juga keputusan Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada minggu depan.

Jelas beliau, sekiranya PRN diputuskan ia bagaimanapun tidak akan menganggu perjalanan Persidangan Cawangan UMNO di seluruh negara yang dijadualkan berlangsung lebih sebulan bermula pada 15 Oktober hingga 30 November.

Artikel Berkaitan: