'Terima kasih frontliner'

Soffian menyampaikan ucapan penghargaan kepada anggota bertugas.
Soffian menyampaikan ucapan penghargaan kepada anggota bertugas.
A
A
A

GEORGETOWN - Bunyi hon sebagai tanda hormat dan laungan terima kasih 'frontliner' bergema ketika anggota penguat kuasa yang bertugas menjaga sekatan jalan raya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini berkemas menamatkan operasi dan kawalan mereka tepat jam 12 tengah malam ini.

Pengguna jalan raya yang melalui laluan itu kebanyakan memperlahankan kenderaan, menurunkan tingkap kereta dan melambai kepada anggota bertugas sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang selama ini menjalankan tugas demi keselamatan penduduk di negeri ini.

Momen menyentuh perasaan itu antara yang dapat dilihat ketika tinjauan dilakukan di SJR berhampiran Jambatan Pulau Pinang di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pelbagai suka duka yang ditempuh oleh anggota bertugas sepanjang lima bulan SJR berkenaan dibuka sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) pada 10 Mei lalu.

Menurutnya, terpaksa bertugas dibawah terik matahari, berdepan dengan ribut dan hujan lebat antara cabaran yang dihadapi oleh anggota penguat kuasa yang bukan hanya terdiri daripada pasukan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Malah sepanjang beroperasi di sini, anggota SJR pernah bertugas dalam keadaan gelap gelita selepas belalan elektrik terputus baru-baru ini.

"Pengalaman yang paling mencabar apabila terdapat kenderaan yang terbabas dan merempuh SJR hingga menyebabkan banyak peralatan rosak. Namun semua dugaan itu tidak pernah melemahkan semangat kami dalam melaksanakan tugas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai di negeri ini terjamin," katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan penutupan SJR di sini malam Ahad.

Penutupan SJR itu dibuat selaras dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas hari ini yang bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun menurutnya SJR untuk menjaga keselamatan negara akan terus dilakukan.

Sementara itu, Soffian berkata walaupun SJR tidak lagi dibuat namun anggotanya akan tetap memantau di kawasan-kawasan tumpuan di negeri ini bagi memastikan orang ramai terus mematuhi prosedur opeprasi standard (SOP) bagi mengelak virus Covid-19 merebak.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang sudah mula teruja untuk merentas negeri atau pulau ke kampung agar memastikan tidak memandu secara melulu dan berbahaya sebaliknya terus mematuhi semua undang-undang dan peraturan jalan raya.

"Kita tahu ramai yang sudah tidak sabar untuk bertemu keluarga dan insan tersayang namun jangan lupa untuk berhati-hati dan paling penting terus mematuhi semua SOP yang ditetapkan walau di mana sahaja," katanya.