X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Terima kasih kepada petugas SJR: Hishammuddin

Hishammuddin.
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang terlibat dalam operasi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lepas bagi membendung wabak Covid-19.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan itu berikutan penamatan SJR di sempadan negeri selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri yang bermula tengah malam Ahad.

"Mungkin nampak mudah di mata kita, tetapi hanya yang cekal dan kuat semangat sahaja mampu bertugas siang malam di pelbagai lokasi SJR.

"Terima kasih anggota pasukan keselamatan yang terlibat. Semoga sentiasa dalam lindungan Allah SWT," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi beliau.

Hishammuddin juga berkata, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas hari ini, SJR untuk menjaga keselamatan negara akan terus dilakukan.

Pada Ahad, kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataannya pada Ahad memaklumkan Polis Diraja Malaysia akan menjalankan pemeriksaan secara rawak di kawasan tumpuan dan menamatkan SJR di sempadan negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, Op Benteng dan cegah jenayah serta keselamatan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!