Cheng Hoe terpukau kelincahan Mickey di Jordan

No Image Caption
A
A
A

KELINCAHAN dipamerkan pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim berjaya memikat perhatian pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dalam dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan.

Sambil memuji prestasi pemain bertubuh kecil terkenal dengan panggilan ‘Mickey’ itu, Cheng Hoe menyifatkan penampilan Faisal selepas dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan dalam kedua-dua perlawanan di Amman, Jordan itu sebagai satu aspek positif diperoleh Harimau Malaya walaupun tumpas 0-4 kepada Jordan dan 1-5 kepada Uzbekistan, masing-masing pada Rabu lepas dan malam Sabtu.

“Secara keseluruhan, memang Mickey yang kita nampak antara menonjol dalam dua perlawanan di Jordan,” katanya pada sidang media dalam talian pada Ahad.

Bekas jurulatih Kedah berusia 53 tahun itu berkata, percaturan menurunkan Faisal dalam kesebelasan utama bagi dua aksi persahabatan itu membuahkan hasil apabila pemain berkenaan dapat menggunakan kepantasan dimilikinya untuk menandingi aspek fizikal pemain lawan.

Selain Faisal, Cheng Hoe turut gembira dengan kelibat pemain muda berbakat, Luqman Hakim Shamsudin yang disenaraikan buat kali pertama sebagai penggempur utama negara menggantikan penyerang naturalisasi Guilherme De Paula ketika menentang Uzbekistan selepas hanya turun sebagai pemain simpanan sebelum ini.

Katanya, pemain berkelana di Belgium mewakili KV Kortrijk itu mempunyai teknik serta kawalan bola baik selain kadang kala memberi ancaman dan menggusarkan benteng pertahanan Uzbekistan yang memiliki saiz badan agak besar pada aksi berlangsung di Stadium Antarabangsa Amman itu.

Sementara itu, beliau mengakui tidak berpuas hati dengan aksi ditampilkan barisan pertahanan negara hingga menyaksikan mereka dibolosi sembilan gol dalam kedua-dua aksi tersebut.

Sehubungan itu, Cheng Hoe mengingatkan anak buahnya untuk bergerak sebagai satu pasukan dengan membuat hantaran tepat dan memastikan dapat mengawal bola dengan baik bagi mengelak mereka terus ditekan seterusnya dihukum susulan kesilapan mudah yang dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Walaupun gandingan kapten pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Muhammad Irfan Zakaria di pertahanan tengah menyaksikan Malaysia bolos empat kali menentang Jordan, Cheng Hoe tetap mempertahankan tindakannya mempertaruhkan kedua-dua pemain itu yang sekali lagi diturunkan menentang Uzbekistan kerana pengalaman dimiliki mereka di pentas antarabangsa.

“Kita nampak terlalu banyak kesalahan individu menentang Jordan dan kalau kita lihat pada perlawanan semalam (Uzbekistan) kesalahan individu telah dapat kurangkan tetapi dari segi bertahan sebagai satu pasukan kita kena kemaskan lagi.

“Apabila menyerang pula, pemain perlu bijak memberi hantaran yang baik serta memiliki kawalan bola, teknik dan kemahiran tinggi menentang pasukan yang jauh lebih baik daripada kita, jadi saya harap pemain dapat belajar daripada dua perlawanan tersebut,” katanya.

Beliau juga merumuskan banyak aspek dipelajari di Jordan yang disifatkannya sebagai platform untuk pemain meningkatkan prestasi dalam perlawanan akan datang selain membantu barisan kejurulatihan menyiapkan ramuan bagi menyediakan taktikal terbaik menghadapi Piala AFF 2020 di Singapura pada Disember ini dan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 tahun depan.

Ditanya sama ada sudah mendapat bayangan skuad untuk membawa cabaran dalam kedua-dua saingan penting itu selepas perlawanan di Jordan, beliau memaklumkan barisan kejurulatihan masih mempertimbangkan senarai pemain yang akan menyarung jersi Harimau Malaya nanti.

“Tetapi kita nampak ada dua hingga tiga pemain yang boleh digilap sebagai persediaan pada masa depan selepas aksi di Jordan,” katanya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berharap agar pasukannya dapat mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan yang berkedudukan lebih baik berbanding Malaysia dalam aksi persahabatan seterusnya bulan depan untuk mempersiapkan anak didiknya menghadapi saingan Piala AFF Suzuki.

Katanya, pemain dapat mengutip pengalaman berguna sekiranya mereka berpeluang bermain dengan pasukan yang lebih baik selain mencuba untuk memperbaiki ranking negara yang ketika ini menghuni tangga ke-154 di dunia. - Bernama