'Tak sabar masak menu kegemaran anak, cucu'

Foto Noriah bersama cucu-cucunya. - Foto ihsan keluarga
Foto Noriah bersama cucu-cucunya. - Foto ihsan keluarga
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelbagai juadah yang hendak dimasak untuk anak-anak dan cucu bermain di fikiran, sejurus mendengar pengumuman kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri bermula pada Isnin.

Itulah keterujaan ibu kepada tujuh anak, Noriah Ali, 61, dari Panji Alam, di sini untuk menyambut kepulangan anak-anak dan cucu-cucunya selepas hampir dua tahun terpisah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19.

"Anak-anak saya sememangnya suka makan, sebab itulah setiap kali kami berkumpul sebelum ini pun, saya memang akan masak pelbagai jenis menu untuk mereka seperti hidangan hari raya tetapi alhamdulillah mereka tidak begitu memilih, apa yang saya masak mereka makan sahaja.

"Sekarang saya bercadang hendak masak menu nasi minyak, rendang dan lain-lain untuk mereka sebab memang dah lama tak masak sebegitu.

"Saya tahu anak-anak pastinya rindukan masakan air tangan saya kerana setiap kali mereka telefon bertanya khabar, mereka akan beritahu rindu nak makan masakan 'mama'," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, nenek kepada 13 cucu itu mengakui rasa penat memasak pastinya hilang setelah melihat cucu-cucunya menjamu selera.

"Jadi disebabkan itulah bila dapat tahu mereka dah boleh balik kampung, perkara pertama yang bermain di fikiran saya adalah nak masak apa untuk mereka nanti.

"Sejujurnya saya memang dah tak sabar nak masak untuk mereka, kalau ikutkan hati saya memang nak pergi beli bahan-bahan masakan tetapi keadaan kesihatan suami, Mansor Mukhtar, 69, tidak mengizinkan hari ini, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Bercerita lanjut, Noriah berkata, selama ini dia dan suami hanya melepaskan rindu pada anak-anak serta cucu-cucunya melalui panggilan video dan boleh dikatakan hampir setiap hari mereka berhubung dengan empat anaknya menetap di Selangor manakala seorang lagi di Johor Bahru.

Sementara itu, Nurul Syakira Mansor, 37, anak kedua pasangan itu berkata, pengumuman kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri pada Ahad sememangnya ditunggu-tunggu selama ini.

"Walaupun akhirnya kami dapat pulang tetapi kami tetap mengambil langkah waspada dengan meminta kesemuanya melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum balik ke kampung.

"Saya pesan kat adik-beradik yang lain supaya melakukan ujian saringan dengan menggunakan 'test kit' yang mudah dan banyak dijual di farmasi sebelum balik kampung,” katanya yang tinggal di Klang, Selangor.

Dia berkata, walaupun sudah boleh berkumpul tapi mereka akan pastikan ahli keluarga tidak terlalu 'bebas' dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.