Kes basikal lajak: Jurujual wanita dibebas, dilepaskan

Ke Ting, yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa memandu kereta secara melulu atau berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam di sini sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.- Foto Bernama
Ke Ting, yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa memandu kereta secara melulu atau berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam di sini sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.- Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Majistret di sini pada Ahad sekali lagi membebas dan melepaskan seorang jurujual wanita daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak empat tahun lepas.

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap Sam Ke Ting, 26.

"Selepas meneliti segala keterangan yang dikemukakan dan menimbang semua hujahan Timbalan Pendakwa Raya dan peguam bela tertuduh di akhir kes pembelaan, timbul keraguan munasabah dalam minda saya.

"Maka diputuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, tertuduh dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan pada akhir kes pembelaan," katanya.

Dalam penghakimannya, Siti Hajar berkata, mahkamah berpendapat keterangan tertuduh bahawa dia tidak mengetahui terdapat aktiviti basikal lajak di kawasan itu adalah munasabah.

Siti Hajar berkata, keterangan Ke Ting bahawa dia berada di lorong paling kiri lokasi kejadian di Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mendapati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5 kilometer atau 75.8 kilometer sejam.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu Ke Ting, yang sebelum ini digantung, dikembalikan kepadanya dengan serta-merta.

Pada 18 Februari lepas, Mahkamah Tinggi mengarahkan tertuduh membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya serta mengetepikan perintah Mahkamah Majistret pada 28 Oktober 2019 yang membebas dan melepaskannya daripada pertuduhan itu.

Artikel Berkaitan:

Ke Ting, yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa memandu kereta secara melulu atau berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam di sini sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Mereka ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14, Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14, Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16, Fauzan Halmijan, 13, Mohamad Azhar Amir, 16, Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14, Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14, dan Haizad Kasrin, 16.

Jurujual wanita itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM20,000 jika sabit kesalahan. -Bernama