Bajrangi Bhaijaan vs Fanaa

A
A

BERITA Pakistan menembak jatuh jet pejuang India MIG21 Bison telah menggegarkan arena politik antarabangsa. Tentu sekali, kejadian ini adalah akibat daripada tindakan India yang menceroboh ruang udara Pakistan buat pertama kalinya sejak Perang Pakistan-India 1971 sebelumnya.

Namun demikian, secara tidak langsung peristiwa ini telah turut menggamit reaksi spontan warga kita yang membandingkannya dengan filem Hindustan yang terkenal: Bajrangi Bhaijaan (2015).

Filem ini mengisahkan tentang dilema kemanusiaan antara Pawan, seorang lelaki Hindu India lakonan Salman Khan dengan Shahida, seorang kanak-kanak perempuan Muslim Pakistan yang berdepan dengan seribu satu ujian semata-mata kerana hakikat permusuhan geopolitik tradisi antara Pakistan dengan India.

Secara ringkasnya, filem Bajrangi Bhaijaan ini diakhiri dengan ‘kemenangan’ kuasa kasih sayang atas dasar manusiawi antara Pawan dengan Shahida yang mengalahkan rasional geopolitik dan sempadan negara bangsa Pakistan-India – jelas terutamanya menuju penghujung filem ini yang menyaksikan rakyat kedua-dua negara India dan Pakistan yang turun berduyun-duyun semata-mata demi merobohkan tembok penghalang antara Pawan di India dengan Shahida di Pakistan.

Latar permusuhan India-Pakistan dengan Kashmir sebagai lokasi fokus bukanlah tema asing dalam filem Hindustan. Pada 1964, filem klasik Sangam arahan Raj Kapoor yang terlebih dahulu menyelitkan latar India-Kashmir-Pakistan boleh dianggap sebagai berjaya menambat hati peminat filem Bollywood hingga kini.

Sangam mengisahkan tentang cinta tiga segi yang menjadi bertambah buruk apabila protagonis utama iaitu Sunder – seorang juruterbang pesawat tentera udara India – hilang ketika melaksanakan misi di Kashmir.

Menariknya, plot filem Sangam ini agak serupa dengan realiti yang berlaku baru-baru ini apabila juruterbang pesawat India yang menceroboh Pakistan – dikenali sebagai Komander Abhinandan – telah dibebaskan oleh Pakistan dengan selamatnya kepada India. Dalam filem Sangam, Sunder turut dibebaskan kembali ke India dengan selamatnya.

Satu lagi filem Bollywood yang tidak kurang hebatnya dalam menyelitkan latar pertembungan India-Kashmir-Pakistan ialah Fanaa (2006) lakonan Aamir Khan dan Kajol.

Jika filem Bajrangi Bhaijaan dan Sangam menyaksikan kesudahan yang boleh dikatakan ‘positif’ antara hubungan India dengan Kashmir (dan Pakistan), filem Fanaa sebaliknya lebih ‘realis’; watak Rehan Khan lakonan Aamir Khan yang menjadi perisik Kashmir untuk menyerang India – sebaliknya terlanjur berhubungan dengan Zooni (Kajol) seorang wanita India yang buta.

Kesudahan tragis filem Fanaa ini pada hakikatnya lebih hampir dengan realiti pertempuran yang tidak berkesudahan antara India dengan Pakistan dan Kashmir.

Benar, tidak salah sama sekali untuk kita membicarakan soal keamanan dan kedamaian sejagat – sebagaimana yang diseru dalam filem Bajrangi Bhaijaan. Namun begitu, ia adalah satu kesilapan (dan juga kezaliman) yang cukup besar sekiranya kita sengaja mengelak daripada membicarakan isu pokok tentang hasrat rakyat majoriti Muslim di Kashmir yang enggan dinaungi pemerintah India.

Dalam kes yang terbaharu, kita tidak seharusnya mempersoalkan tindakan Pakistan menembak jatuh jet India sedangkan India yang bertindak mencerobohi ruang udara Pakistan, bahkan turut melakukan empat pengeboman besar-besaran dengan saiz 1,000 kilogram bom (SPICE 2000 buatan Israel yang juga digunakan di Syria) di wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan, iaitu di Kampung Jaba.

Kita juga tidak seharusnya mengguna pakai istilah ‘pengganas Kashmir tajaan Pakistan’ terhadap para penyerang yang melakukan serangan pada 14 Februari lalu yang membunuh 42 anggota pasukan keselamatan India di wilayah Pulwama, iaitu di bandar Kashmir yang dikuasai India.

Hal ini demikian kerana kerajaan Pakistan dan juga angkatan Tentera Pakistan telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa mereka adalah dalang di sebalik serangan ini. Sebaliknya, Pakistan jelas berusaha keras mendesak India agar kembali ke meja rundingan dan tidak meneruskan pencerobohan yang bersifat ‘populis’ ke atas Pakistan dan Kashmir menjelang pilihan raya umum India mulai April ini.

Kita sebagai warganegara Malaysia yang cintakan keamanan tidak seharusnya mudah terikut-ikut dengan sentimen ‘neutral’ yang tidak bertempat dan berharap ‘kasih sayang’ semata-mata mencukupi untuk menyelesaikan isu politik.

Hakikatnya, geopolitik yang sebenar adalah pahit seperti mana dalam filem Fanaa, dan bukannya seindah yang digambarkan filem Bajrangi Bhaijaan.

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.