Tiada tarikh khusus isytihar peralihan pandemik kepada endemik

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan tidak menetapkan tarikh khusus mengenai pengisytiharan peralihan pandemik kepada endemik bagi Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang merangka pelbagai perkara berkaitan termasuklah prosedur operasi standard (SOP).

“Mungkin selepas diumumkan SOP akan dikurangkan kerana pada ketika ini terdapat kira-kira 180 SOP yang melibatkan semua aktiviti.

“Bagaimanapun, kita terpaksa melatih diri untuk hidup bersama Covid-19. Sebab itu apa yang penting adalah bagaimana cara kita melindungi diri dan orang di sekeliling.

“Sebab itu saya ingin tekankan bahawa pematuhan terhadap SOP itu sangat penting. Ia bagi memastikan kes tidak meningkat semula,” katanya pada sidang media khas pada Ahad.

Mengulas mengenai pembukaan sempadan negeri, Ismail Sabri memberi jaminan sekiranya kes melonjak naik kerajaan tidak akan melaksanakan arahan penutupan operasi ekonomi secara menyeluruh.

“Misalnya, jika kes meningkat di Langkawi kita tidak akan tutup seluruh kawasan berkenaan.

“Sama seperti di kawasan saya di Bera terdapat peningkatan kes tetapi laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti yang dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

"Ia tidak akan mengganggu aktiviti ekonomi di mana-mana,” katanya.