Pelan strategik bantu tangani isu kesihatan mental rakyat

Khairy ketika sesi bual bicara Let's TALK Minda Sihat pada Ahad.
Khairy ketika sesi bual bicara Let's TALK Minda Sihat pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan (2020-2025) diwujudkan bagi menangani peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pelan tersebut disediakan oleh pakar-pakar dengan mengambil kira input daripada pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi kerajaan, badan profesional serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, lapan skop utama yang digariskan dalam pelan tersebut, antaranya ialah meningkatkan tadbir urus dan kerangka peraturan, memperkukuhkan sistem pengawalan kesihatan mental, memastikan ketersediaan serta kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan mental yang komprehensif dan berkualiti.

“Selain itu, ia untuk memperkukuhkan sumber kesihatan mental, meningkatkan dan memupuk kerjasama bersama dan antara sektor, mempromosikan kesejahteraan dan kesihatan mental di dalam semua persekitaran serta kumpulan sasar.

“Juga memperkukuhkan kesiapsiagaan dan perkhidmatan kesihatan mental semasa kecemasan, krisis dan bencana; serta menangani bunuh diri dan tingkah laku bunuh diri,” katanya pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Kesihatan Mental (2020-2025) dan Kempen Media Let’s TALK Minda Sihat Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia di sini pada Ahad.

Sementara itu, Khairy berkata, kempen Let’s TALK Minda Sihat itu merupakan kerjasama pintar bersama agensi-agensi kerajaan dan NGO untuk mempertingkatkan kesedaran kesihatan mental secara meluas dalam kalangan masyarakat.

Melalui kempen berkenaan, katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan anggaran sebanyak 22 juta capaian kepada seluruh rakyat Malaysia dengan menggunakan pelbagai platform media elektronik, digital dan media luar.

“Sehingga hari ini, KKM berjaya mencapai hampir sembilan juta capaian menerusi pelbagai platform yang ada,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Khairy berkata, perkataan TALK merupakan singkatan kepada 'Tell Someone You Trust About Your Problems', 'Ask For Help', 'Listen Without Judgement' dan 'Know Where To Seek Help'.

“Minda Sihat pula adalah analogi yang diterima dan sering digunakan dalam semua program berkaitan kesihatan mental merentas pelbagai agensi.

“Kempen ini untuk memperkasakan rakyat supaya tampil meluahkan perasaan bagi mengurangkan tekanan emosi dan mendapatkan sokongan serta bantuan bagi mencapai kesejahteraan mental yang lebih baik,” jelas beliau.

Menurutnya, ia amat penting untuk mendidik masyarakat agar lebih terbuka dalam membincangkan perkara berkaitan kesihatan mental, di samping menghapuskan stigma serta menggalakkan masyarakat lebih mengambil berat terhadap amalan bagi mencapai kesejahteraan mental.

Katanya, masyarakat terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan diharapkan lebih prihatin terhadap mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental.

“Kita boleh membantu dengan menggalakkan dan membantu mereka supaya tampil bercakap dan berbincang dengan orang yang mereka percaya, serta mendapatkan sokongan dan bantuan profesional jika perlu.

“KKM juga telah mewujudkan Talian Bantuan Sokongan Psikososial dengan kerjasama NGO yang bertujuan untuk memberi sokongan emosi kepada mereka.

“Selain itu, terdapat juga agensi-agensi lain yang menyediakan perkhidmatan sokongan psikososial seperti Talian Kasih oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Talian KSK-Care oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Maklumat lanjut berkaitan talian sokongan ini boleh didapati melalui laman www.moh.gov.my/anms dan www.mindasihatkkm.com,” ujarnya.