Pulau Pinang lulus projek penyelenggaraan elektrik pertama

Jagdeep Singh Deo
Jagdeep Singh Deo
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan projek penyelenggaraan elektrik pertama di bawah Tabung Penyelenggaraan 80:20 di Rumah Pangsa Blok 46, Greenlane Heights pada Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM221,000 untuk kerja-kerja sistem pendawaian elektrik dan pepasangan sesalur tetingkat di koridor bangunan, ruangan parkir dan sekitar kawasan rumah pangsa tersebut.

Beliau berkata, Tabung 80:20 yang merupakan tabung penyelenggaraan skim perumahan swasta telah diperkenalkan pada 2013, dengan 80 peratus kos penyelenggaraan akan dibiayai oleh kerajaan negeri manakala baki 20 peratus lagi oleh penduduk.

“Kebiasaannya dana daripada tabung penyelenggaraan ini kita akan membelanjakan untuk kerja-kerja pembaikan atau penggantian tangki air dan lif tetapi, kita sedar bahawa sistem elektrik juga memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri.

“Projek ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan dengan kerjasama pembayaran daripada badan pengurusan bangunan,” katanya dalam sidang media pada Ahad.

Jagdeep berkata, sehingga hari ini, Tabung 80:20 telah membelanjakan RM45.9 juta bagi kerja-kerja pembaikan atau penggantian 227 lif dan 138 tangki air.

Selain Tabung 80:20, beliau berkata kerajaan negeri sehingga hari ini telah membelanjakan sejumlah RM285.6 juta bagi tiga lagi tabung penyelenggaraan iaitu projek perumahan awam kerajaan negeri, projek perumahan swasta negeri yang layak di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). - Bernama

Artikel Berkaitan: