Dua diambil keterangan kes palsu dokumen guna nama TMJ

Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor telah mengambil keterangan daripada dua suspek dipercayai terbabit dengan kes pemalsuan dokumen tukaran wang asing yang didakwa menggunakan nama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua individu itu membabitkan seorang wanita tempatan yang didakwa mempunyai gelaran Datuk Seri dan seorang lelaki yang juga seorang peguam.

“Untuk kes ini, kita sudah selesai mengambil keterangan mereka dan kini sedang mengesan tiga lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini.

“Keterangan sudah diambil dan siasatan sedang dijalankan, cukup semua baru kita tuduh dan bawa ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada Ahad.

Pada Jumaat, media melaporkan Polis Johor sedang mengesan tiga individu dipercayai terbabit dalam kes penipuan dokumen tukaran mata wang yang menggunakan nama TMJ.

Siasatan itu dijalankan selepas menerima satu laporan polis pada Khamis, berkenaan satu dokumen 'letter of undertaking' pertukaran mata wang dolar Amerika (AS$) kepada Ringgit Malaysia (RM) yang membabitkan nilai AS$200 bilion sehingga AS$5 trilion.

Tiga daripada suspek berkenaan membabitkan seorang wanita dengan gelaran Datuk Seri, seorang peguam dan seorang lelaki yang namanya digunakan sebagai pemilik akaun bank untuk sebarang transaksi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan dikenakan sebatan dan denda.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya mengenai penglibatan ahli politik dengan dua suspek yang diambil keterangan, Ayob berkata, pihaknya mahu siasatan dibuat terlebih dahulu bagi mengelak daripada menimbulkan sebarang spekulasi.

“Biar polis lakukan siasatan dahulu, saya juga mahu menasihati semua pihak agar tidak mudah percaya dengan sebarang dakwaan-dakwaan di media sosial. Ini kerana siasatan masih lagi dilakukan,” katanya.