Banjir: Terengganu sedia dana RM2 juta

Keadaan banjir di Terengganu pada Januari lalu. - Foto fail Angkatan Pertahanan Awam
Keadaan banjir di Terengganu pada Januari lalu. - Foto fail Angkatan Pertahanan Awam
A
A
A

MARANG - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM2 juta sebagai persediaan menghadapi banjir tahun ini yang dijangka berlaku pada awal November hingga Mac nanti.

Pengarahnya, Mazura Ngah Abd Manan berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM1.5 juta peruntukan adalah daripada kerajaan pusat manakala RM500,000 lagi daripada kerajaan negeri yang akan digunakan untuk penyediaan bekalan makanan dan barang keperluan lain.

Menurutnya, semua barang keperluan itu ditempatkan di depoh penyimpanan barangan utama di Marang, 17 mini depoh dan 149 pangkalan hadapan yang ada di seluruh Terengganu.

"Agihan barang keperluan bencana ke depoh dan pangkalan hadapan sudah dimulakan sejak 7 Oktober lalu dan sekarang kita sedang rangka gerakan menghantar barang keperluan ke kawasan sering terputus hubungan pula.

"Antara kawasan tersebut adalah Pulau Redang, Pulau Perhentian dan beberapa kawasan pedalaman seperti Kampung Pasir Raja, Dungun dan kita jangka penghantaran dibuat bermula 12 Oktober dan akan selesai akhir bulan nanti," katanya.

Seorang penghuni Sekolah Tunas Bakti (kanan) meneliti maklumat diri sebelum menerima suntikan vaksin Covid-19 di Rusila, Marang pada Ahad.
Seorang penghuni Sekolah Tunas Bakti (kanan) meneliti maklumat diri sebelum menerima suntikan vaksin Covid-19 di Rusila, Marang pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin Covid-19 kepada penghuni Asrama Akhlak dan Sekolah Tunas Bakti di Rusila, Marang di sini pada Ahad.

Pada program itu, seramai 48 orang iaitu 18 penghuni Asrama Akhlak dan 30 pelajar Sekolah Tunas Bakti menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer.

Mazura berkata, JKM menyediakan sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu dan pusat itu dijangka dapat menampung 147,600 mangsa banjir pada satu-satu masa.

Jelas Mazura, sebagai mematuhi sebahagian prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa, mangsa banjir di setiap PPS akan dikurangkan sebanyak 50 peratus daripada kapasiti sebenar berikutan arahan pematuhan penjarakan fizikal bagi mengelak jangkitan Covid-19.

"Aktiviti memasak di PPS juga tidak dibenarkan dan mangsa banjir akan dibekalkan makanan yang sudah siap dimasak dan dibungkus," katanya.