Lebuhraya KBKK: Kawasan baharu perlu diwarta hutan simpan kekal

Takiyuddin (empat dari kiri) bergambar selepas menanam pokok Blue Quandong pada Program Berbasikal Penghijauan Malaysia Negeri Kelantan di Taman Perbandaran Tengku Anis hari ini. - Foto Bernama
Takiyuddin (empat dari kiri) bergambar selepas menanam pokok Blue Quandong pada Program Berbasikal Penghijauan Malaysia Negeri Kelantan di Taman Perbandaran Tengku Anis hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Sebuah kawasan baharu perlu diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) berikutan projek pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) akan turut melibatkan kawasan HSK Ulu Sat yang terletak di Machang.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dasar Majlis Tanah Negara telah menetapkan HSK yang diwarta keluar untuk pembangunan perlu digantikan.

"Ada kawasan HSK Hulu Sat di Machang yang terlibat, maka ia (HSK Ulu Sat) perlu digantikan.

“Itu dasar yang perlu dipatuhi dan telah diputuskan oleh Majlis Tanah Negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Berbasikal Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Taman Perbandaran Tengku Anis, di sini pada Ahad.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan Abdul Khalim Abu Samah.

Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dijangka siap sepenuhnya pada 2025 dan apabila siap laluan tersebut akan bersambung dengan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) bagi meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti laluan ke Pantai Timur.

Mengenai Program Penghijauan Malaysia, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata kerajaan telah menetapkan 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan dilitupi.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah komitmen kita termasuk dalam konvensyen antarabangsa, kita kena ada 50 peratus kawasan dilitupi pokok,” katanya

Takiyuddin turut memuji Jabatan Perhutanan Kelantan yang berjaya menanam hampir dua juta pokok setakat Oktober, daripada sasaran tiga juta pokok yang akan ditanam tahun ini.

Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah dilancarkan bermula 1 Jan lepas, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara. - Bernama