Penjara Pahang bimbing banduan jadi petani

Ab.Basir (kiri) menerima cenderamata daripada Mohd Ilham
Ab.Basir (kiri) menerima cenderamata daripada Mohd Ilham
A
A
A

BENTONG - Jabatan Penjara Pahang mengambil inisiatif untuk membimbing dan melatih banduan menjadi petani menerusi projek ladang kelapa sawit dan kelapa.

Pengarah Penjara Pahang, Datuk Ab. Basir Mohamad berkata, inisiatif itu merupakan salah satu usaha pihaknya dalam memberikan peluang kepada bantuan terlibat untuk berdikari apabila dibebaskan kelak.

Menurutnya, pembukaan ladang tersebut akan dimulakan awal tahun depan di tanah seluas 32 hektar di belakang Penjara Penor di Kuantan.

"Kita mahu melatih dan mendedahkan banduan dalam pengurusan ladang sawit bermula daripada ladang nurseri sehinggalah menjual hasil.

"Kelapa akan ditanam di kawasan seluas 20 ekar (lapan hektar), memandangkan kelapa banyak digunakan jadi ia boleh dijual secara terus atau dihasilkan santan sekali gus dapat memberikan pelbagai kemahiran kepada banduan.

"Selain itu, tanaman kontan seperti cili dan jagung juga turut akan ditanam sementara menunggu hasilnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Profesor Dr. Mohd. Ilham Adenan di Penjara Bentong pada Sabtu.

Hadir sama Pengarah Penjara Bentong, Datuk Abu Hasan Hussain.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ab Basir berkata, ladang itu akan diusahakan sendiri oleh banduan dengan bimbingan pegawai penjara dan rakan strategik sedia ada seperti Felda, Felcra Bhd dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP).

Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan khidmat nasihat dan teknikal daripada pihak UiTM Pahang yang mempunyai kepakaran dalam bidang terbabit.

Sementara itu, Mohd. Ilham berkata, pihaknya sedia menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Penjara termasuklah dalam usaha jabatan berkenaan memulakan program baharu pembukaan ladang.

Katanya, selain khidmat nasihat dan teknikal serta aspek pengurusan ladang, sistem wakaf sawit juga boleh dipraktikkan di kawasan ladang berkenaan.

"Kita boleh wujudkan satu sistem wakaf sawit di mana orang ramai boleh beramal dengan mewakafkan pokok tersebut nanti," jelasnya.