Tiga destinasi pelancongan di Kuantan masih ditutup

Menara 188, Mini Zoo Taman Teruntum dan Terowong Lombong Sungai Lembing di sini masih ditutup kepada pengunjung untuk kerja-kerja naik taraf
Menara 188, Mini Zoo Taman Teruntum dan Terowong Lombong Sungai Lembing di sini masih ditutup kepada pengunjung untuk kerja-kerja naik taraf
A
A
A

KUANTAN- Menara 188, Mini Zoo Taman Teruntum dan Terowong Lombong Sungai Lembing di sini masih ditutup kepada pengunjung untuk kerja-kerja naik taraf dan pembaikan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, tiga destinasi pelancongan itu akan dibuka semula selepas semua kerja-kerja selesai demi keselesaan dan keselamatan pengunjung.

Menurutnya, beberapa isu teknikal di Menara 188 dikenal pasti dan memerlukan kerja pembaikan begitu juga di Terowong Lombong Sungai Lembing.

"Mini Zoo Taman Teruntum kini masih dalam kerja naik taraf jadi kita putuskan ia ditutup kepada pengunjung.

"Dijangkakan kerja-kerja naik taraf mini zoo itu akan selesai awal tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Kuantan Fit 21 sempena Hari Sukan Negara 2021 di Dewan Bandaraya, Kompleks Bandaraya Kuantan (MBK) di sini pada Ahad.

Hamdan berkata, bagi destinasi pelancongan dan lokasi tumpuan ramai lain di daerah ini telah dibuka sepenuhnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) fasa empat, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Pemantauan akan terus dilakukan MBK melalui pasukan petugas khas bersama agensi lain bagi memastikan semua pengunjung mematuhi syarat dan garis panduan ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, orang ramai diingatkan tidak lalai dengan kelonggaran yang diberikan sebaliknya perlu mematuhi segala SOP yang ditetapkan.

Menurut beliau, fasa ini agak mencabar untuk memastikan kadar kepatuhan SOP, justeru semua pihak perlu mengambil peluang sebaik mungkin agar segala aktiviti termasuk kegiatan ekonomi dapat berjalan lancar.

"Kelalaian boleh menyebabkan kes Covid-19 kembali meningkat dan keadaan itu akan membawa suasana kembali kepada situasi tidak menentu.

"Kita minta mereka yang belum menerima vaksin segera berbuat demikian kerana ia penting bukan hanya dalam aspek kesihatan malah kemakmuran ekonomi," katanya.

Beliau berkata, peniaga dan penjaja yang belum mempunyai lesen perniagaan diminta segera berbuat demikian.

"Ketika ini semua kaunter perkhidmatan di MBK dibuka jadi orang ramai boleh berurusan seperti biasa termasuk untuk urusan memohon lesen perniagaan dan perkhidmatan lain," katanya.