'Demi Islam, Pas sedia maafkan, tapi...'

Hashim Jasin
Hashim Jasin
A
A
A

KANGAR – Setelah rasmi menjalin kerjasama, Pas bersedia memaafkan segala kesalahan pernah dilakukan UMNO terhadap parti itu sebelum ini, demi perjuangan Islam dan perpaduan ummah.

Mursyidul Amnya, Datuk Hashim Jasin berkata, penyokong kedua-dua parti perlu mengambil iktibar atas kejadian berlaku terhadap Rasulullah SAW ketika baginda memimpin umat dan menyebarkan syiar Islam.

Memetik laporan Berita Harian, Hashim berkata, sepanjang tempoh itu, Rasulullah SAW berdepan pelbagai ancaman daripada musuh Islam, namun baginda tetap meneruskan perjuangan demi kepentingan akidah dan syariat.

“Sedangkan Rasulullah boleh memaafkan orang (Umar Al-Khattab) yang dahulunya mahu membunuh baginda, kemudian mereka bersama-sama berjuang memartabatkan Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: Mesyuarat UMNO - Pas pertama coret sejarah politik negara

“Inikan pula kita sesama agama dan hanya berbeza ideologi politik, jadi kerjasama Pas dan UMNO adalah demi agama Islam serta hak orang Melayu di negara ini,” katanya.

Meskipun sedia memaafkan, Hashim berkata, Pas tidak melupakan segala yang pernah dilakukan UMNO, termasuk mendakwa beliau pernah menjadi mangsa.

“Kita tahu dan tidak lupa apa yang mereka (UMNO) buat terhadap Pas dahulu, saya pun pernah ditukarkan ke tempat lain dalam masa 24 jam hanya kerana berbeza ideologi politik.

Artikel Berkaitan:

“Namun, melihat keadaan Islam di Malaysia sekarang, kerjasama itu perlu,” katanya yang pernah bertugas sebagai penjawat awam.

Semalam, mesyuarat jawatankuasa induk UMNO dan Pas memutuskan kedua-dua parti tidak akan bersatu sebagai sebuah parti.

Sebaliknya, kedua-dua parti hanya bersetuju bekerjasama sebagai pembangkang yang antara lain agendanya ialah menumpukan kerjasama bagi menghadapi PRK akan datang.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, kerjasama Pas dengan parti lain bukanlah perkara baharu kerana ia pernah dilakukan sebelum ini, termasuk dengan DAP.

“Pas adalah parti berpegang pada janji dan syarat yang sudah ditetapkan. Kita lebih memikirkan perpaduan berbanding perpecahan sesama umat Islam,” katanya.