Speedy Tigers kekal momentum positif

Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Wales di
Pusat Hoki Wales.
Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Wales di Pusat Hoki Wales.
A
A
A

THE Speedy Tigers mengekalkan momentum positif dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 apabila mengatasi Wales 4-3 di Pusat Hoki Wales.

Bagaimanapun, tuan rumah bermula garang apabila terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelima menerusi pukulan stroke yang disudahkan oleh Joseph Naughalty sebelum pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim kembali mengikat kedudukan 1-1 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Speedy Tigers kembali di depan 2-1 pada minit ke-26 apabila sekali lagi kelebihan pukulan sudut penalti diterjemahkan kepada gol kali ini menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi untuk aksi separuh masa pertama ditutup dengan kelebihan buat kem negara.

Minit ke-44, Wales kembali mengejar kedudukan selepas Gareth Furlong menyudahkan pukulan sudut penalti namun kedudukan 2-2 tidak kekal lama apabila giliran Faizal Saari mencatat nama selaku penjaring seminit kemudian hasil gol padang untuk kedudukan berubah 3-2.

Gol kempat Speedy Tigers hadir menerusi satu lagi gol gerakan padang kali ini jaringan tersebut disumbangkan oleh Shello Silverius pada minit ke-54. Seakan perlawanan dilihat akan tamat dengan kedudukan 4-2, Wales yang dihadiahkan dengan pukulan storke tidak mensia-siakan kelebihan tersebut apabila sekali lagi Joseph Naughalty mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-60 untuk perlawanan tamat dengan keputusan akhir 4-3.

Sementara itu Pengendali Speedy Tigers, A Arulselvaraj menganggap kemenangan yang diraih oleh anak-anak buahnya hari ini merupakan sesuatu yang cukup manis kerana kemenangan ini juga akan membantu pasukan negara untuk terus memperbaiki kedudukan ranking dunia.

“Perlawanan hari ini kami dihadiahkan dengan dua pukulan sudut penalti dan kami menjaringkan gol daripada kedua-duanya sementara lawan yang menerima empat pukulan sudut penalti menjaringkan satu gol sementara satu lagi penalti stroke.

“Aksi hari ini, disiplin pemain di atas padang tidak beberapa baik menyebabkan kami mengutip tiga kad hijau dan satu kad kuning.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan Wales menggunakan kekurangan kami dengan menjaringkan gol termasuk gol pukulan stroke dan kesilapan-kesilapan tersebut akan kami nilai kembali dalam sesi analisis video serta memperbaikinya.

“Jika dilihat pertemuan terakhir Malaysia dan Wales, ia aksi yang sengit di mana pertemuan terakhir Malaysia menewaskan mereka 2-1. Namun untuk aksi hari ini, apa yang dapat kami pelajari adalah untuk menggunakan setiap peluang yang ada dengan sebaiknya.

“Kekuatan pasukan negara adalah kelajuan dan kami akan membawa keyakinan yang ada ini untuk perlawanan seterusnya,” ujar Arul.

Sementara itu, Faizal Saari yang turut menyumbang gol ketiga bersyukur apabila kembali menemui prestas, sebenar termasuk sentuhan menjaringkan gol.

“Syukur, Alhamdulillah Malaysia menang menentang Wales untuk perlawanan pertama. Daripada perlawanan hari ini masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki namun perkara-perkara positif yang dilakukan, kami akan teruskan untuk perlawanan akan datang.

“Saya telah menemui kembali prestasi saya termasuk sentuhan gol dan itu merupakan sesuatu yang cukup positif untuk diri saya sendiri. Saya akan terus mengkaji perlawanan hari ini untuk persediaan menjelang perlawanan kedua,” jelas Faizal.

Perlawanan ujian keempat yang juga merupakan aksi kelapan skuad negara akan sekali lagi menentang Wales, perlawanan di Reading HC, awal pagi Rabu ini.