Usaha cari keadilan buat Adib dapat diteruskan: KPBPSM

Muhammad Adib
Muhammad Adib
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia (KPBPSM) menyokong keputusan kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan secara menyeluruh, adil dan telus terhadap kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Presidennya, Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, pihaknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berharap kekusutan dan pertikaian berbangkit dalam kes Allahyarham Muhammad Adib dapat dirungkai dengan penubuhan jawatan tersebut.

“Dengan penubuhan jawatankuasa khas ini, besar harapan kami agar usaha mencari keadilan terhadap Allahyarham Muhammad Adib dan keluarganya diteruskan sehingga pesalah mendapat hukuman yang setimpal.

“Pada masa sama, jawatankuasa khas ini juga merupakan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan kepada kebajikan dan keselamatan penjawat awam lebih terjamin dan menaikkan semangat untuk melaksanakan tugas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Sabtu, kerajaan bersetuju mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Allahyarham Muhammad Adib.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018, di Institut Jantung Negara (IJN) ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Mengulas lanjut, Kamerul Bieza berkata, pihaknya menghargai dan mengucapkan terima kasih atas keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan untuk meneruskan siasatan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib ketika menjalankan tugas.

“KPBPSM mewakili keseluruhan pihak pekerja JBPM berdoa agar kes Allahyarham Muhammad Adib mendapat keadilan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

“Ini akan memberi gambaran jelas kepada masyarakat bahawa petugas barisan hadapan adalah merupakan banteng utama kerajaan dan negara,” katanya.