X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Pasca pandemik: Beri keutamaan pekerjaan pelbagai bidang

Muhyiddin Yassin - Foto FB Muhyiddin
A
A

KUALA LUMPUR - Masyarakat harus melihat pekerjaan di masa hadapan yang menjurus ke arah pelbagai bidang atau pelbagai pengkhususan dan ia tidak sepatutnya tertumpu kepada satu bidang pengkhususan sahaja, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pengkhususan dan kepakaran di dalam pelbagai bidang seharusnya kini menjadi keutamaan di dalam menghadapi persekitaran kerja pasca pandemik Covid-19.

"Wujud satu keperluan mendesak bagi pelajar, siswazah, belia dan suri rumah, juga, untuk menyesuaikan diri kepada perubahan yang dibawa pandemik dan pendigitan dengan menumpukan kepada usaha mempelbagaikan kemahiran mereka.

"Sebagai contoh, jika seseorang mempunyai kemahiran dalam pemasaran, kewangan, jualan atau kejuruteraan, ia sepatutnya diseimbangkan dengan pelbagai kemahiran dengan nilai tambah yang lebih tinggi. Begitu juga seorang jurutera, pensyarah atau pegawai kerajaan seharusnya berpengetahuan dalam pemasaran, jualan, teknologi maklumat, pembangunan produk dan pengkomputeran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan khasnya "Skilled Youth-The Catalyst For National Recovery” (Belia Berkemahiran- Pemangkin kepada Pemulihan Negara) pada Persidangan Maya Merapatkan Jurang Kemahiran Minds For Malaysia (M4M), di sini pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, norma baharu berikutan pandemik telah menimbulkan pemangkin untuk peralihan kepada Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang dijangka mentransformasikan kebanyakan landskap pasaran tenaga kerja di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata perubahan ini telah menyebabkan pekerjaan tidak serasi, menunjukkan terdapat peralihan di dalam pola permintaan tenaga kerja dan jika tidak ditangani dengan bijak, ia mungkin mengakibatkan sesebuah negara berhadapan cabaran besar dalam menyediakan siswazah yang mempunyai prospek dari segi kuantiti dan kualiti yang mampu memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja di masa hadapan.

Justeru, beliau mengesyorkan masyarakat terutamanya belia supaya melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran digital untuk meningkatkan kemakmuran ekonomi supaya mereka lebih bersedia untuk memenuhi sebarang permintaan dalam pasaran pekerjaan semasa.

Beliau berkata kemahiran dalam pengkomputeran data, kecerdasan buatan (AI), pembangunan produk serta pengkomputeran awan, sebagai contoh boleh menjana peluang pekerjaan yang hampir tidak bersempadan.

Beliau juga menggalakkan penuntut, siswazah dan belia supaya menghadiri program berkemahiran tinggi untuk meningkatkan peluang kebolehgajian dan profesionalisme selain daripada berusaha memiliki kemahiran digital untuk menghadapi cabaran pandemik dalam persiapan ke arah peralihan fasa endemik.

"Mereka juga perlu membina kemahiran insani bagi memastikan kebolehpasaran dan kebolehgajian. Masih ramai siswazah dan belia di luar sana yang masih tidak cukup cekap dalam berkomunikasi atau dalam menzahirkan pandangan mereka selain kekurangan kemahiran menyelesaikan masalah.

Mereka perlu memiliki atau membina kemahiran insani tertentu yang dicari majikan untuk melengkapkan pengetahuan teknologi kerana ia akan memberi kelebihan daripada pencari kerja lain,” kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!