PATI tempiaran lari masuk semak diserbu Imigresen

Antara PATI yang ditahan dalam operasi dijalankan.
Antara PATI yang ditahan dalam operasi dijalankan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga Bangladesh cedera selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam operasi di sebuah tapak pembinaan di Jalan Duta Mas di sini lewat malam Sabtu.

Difahamkan lelaki itu cedera di bahagian kepala selepas tergelincir ketika cuba meloloskan diri di dalam belukar berhampiran tapak projek berkenaan.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, tindakan pantas anggotanya berjaya memberkas semula beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba melarikan diri.

"Mereka PATI bertempiaran lari dan masuk ke dalam semak bagi elak ditangkap," katanya ketika ditemui selepas operasi pada awal pagi Ahad.

Syamsul Badrin berkata, seramai 82 buruh warga asing diperiksa dalam operasi tersebut dan 40 daripada mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Semua yang ditahan terdiri daripada 32 lelaki Bangladesh, tujuh lelaki Indonesia dan seorang lelaki Pakistan berusia antara 25 hingga 60 tahun yang bekerja di tapak pembinaan tersebut.

"Tapak ini dipercayai beroperasi sejak akhir tahun lalu. Mungkin majikan ingat kita tidak akan membuat operasi kerana lokasi tapak pembinaan yang dekat dengan pejabat Imigresen, tetapi kita akan sentiasa buat pemantauan dan risikan," katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, Imigresen Kuala Lumpur turut menahan 12 orang PATI dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Bubut di sini sekitar jam 7.10 malam pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Kesemua yang ditahan merupakan PATI berusia antara 20 hingga 35 tahun terdiri daripada dua wanita Myanmar, dua wanita Thailand, enam wanita Vietnam dan dua lelaki warga Bangladesh.

Mengulas lanjut, Syamsul Badrin menggesa agar pihak majikan memastikan setiap pekerja mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah

"Sekarang kita juga ada program Rekalibrasi Tenaga Kerja jadi kalau boleh saya gesa majikan daftar segera mana-mana pekerja mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," ujarnya.

Tambahnya, kesemua tahanan dibawa ke Depoh Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut

"Kesemua PATI tersebut ditahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah," tambahnya.