X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Uzbekistan 'ajar' Harimau Malaya

A
A

SKUAD Harimau Malaya menampilkan rentak permainan lebih bertenaga apabila berdepan Uzbekistan dalam aksi persahabatan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan pada Sabtu.

Biarpun tewas 1-5, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tampak lebih garang dan berani berdepan lawan berbanding ketika pertemuan menentang Jordan yang menyaksikan mereka kalah 0-4.

Dalam aksi menentang Uzbekistan, Cheng Hoe membuat lima perubahan dalam kesebelasan utama dengan menyenaraikan Khairul Fahmi Che Mat, Muhammad Arif Fadzilah Abu Bakar, Kenny Pallraj, Hakimi Abdullah dan Luqman Hakim Shamsudin.

Namun, berdepan Uzbekistan - pasukan yang menghuni ranking ke-84 dunia serta dibarisi dengan deretan pemain berkualiti, bukan satu tugas mudah buat Harimau Malaya.

Malah, dua tonggak Uzbekistan - Farrukh Sayfiev dan Jaloddin Masharipov nyata menjadi ancaman besar buat anak-anak buah Cheng Hoe apabila mereka dilihat sebagai penggerak dalam merencana jaringan ke kubu Harimau Malaya.

Uzbekistan memperoleh gol pembukaan apabila hantaran lintang Sayfiev disudahkan dengan baik Dostonbek Khamdamov pada minit ke-17.

Masharipov menjadi 'arkitek' di sebalik gol kedua Uzbekistan apabila berjaya memperdayakan Kenny Pallraj sebelum bola hantarannya ditanduk masuk Khamdamov pada minit ke-29.

Berselang empat minit kemudian, Uzbekistan menambah gol ketiga apabila giliran Husain Norchaev pula menyudahkan hantaran lintang Sayfiev.

Tersentak dengan tiga gol Uzbekistan, Cheng Hoe memasukkan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad menggantikan Hakimi bagi menambah sengat di jentera serangan Harimau Malaya.

Hasilnya, menerusi satu serangan balas yang dilancarkan pertahanan kanan, Rizal Ghazali, Harimau Malaya berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi Baddrol Bakhtiar pada masa kecederaan babak pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, Uzbekistan tampak masih bernafsu memburu jaringan sebelum gol keempat terhasil apabila Ibrokhimkhalil Yuldashev menyudahkan hantaran Masharipov pada minit ke-68.

Pada penghujung perlawanan, gawang Harimau Malaya yang dikawal Khairul Fahmi sekali lagi bocor hasil jaringan pemain gantian Uzbekistan, Azizbek Amanov.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!