X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Isytihar darurat, tangguh PRN di Melaka

A
A

POLITIK Melaka kembali bergolak lagi ketika seluruh negara masih menghadapi ancaman penularan pandemik Covid-19.

Pada awal Mac tahun lalu, kerajaan negeri Melaka pimpinan Pakatan Harapan tumbang setelah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu, seorang dari PKR dan seorang lagi DAP menyertai Perikatan Nasional.

Hari ini, belum cukup 20 bulan, situasi yang sama kembali berulang apabila pada Isnin lalu, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkan DUN negeri itu setelah empat ADUN mewakili kerajaan negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya di Melaka selepas DUN berkenaan bubar.

Ramai pihak amat khuatir dan mengambil berat terhadap apa yang berlaku di Melaka ketika ini. Kita seharusnya mengambil pengajaran bagaimana pergolakan politik di Sabah pada tahun lalu sehingga memaksa Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan ketika pandemik Covid-19 sedang menular di negara kita.

Akibatnya, kes Covid-19 menular begitu serius bukan sahaja di Sabah, malah turut tercetus di Semenanjung gara-gara ‘kluster pilihan raya Sabah’.

Ketika mengulas isu PRN di Melaka, Lidah Pengarang Sin Chew Daily berpendapat, sekiranya berlaku PRN di Melaka, apakah SPR dan kerajaan negeri Melaka boleh memberi jaminan bahawa tidak akan berlakunya penularan Covid-19 secara mendadak seperti apa yang berlaku selepas PRN Sabah?

Kata akhbar itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri telah mengambil maklum kebimbangan rakyat berhubung risiko penularan Covid-19 akan meningkat sekiranya PRN Melaka diadakan.

Kata Ismail Sabri, jika PRN perlu diadakan, SPR akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan ia berjalan dalam keadaan terkawal. Selain itu, perbincangan juga akan dilakukan dengan Kementerian Kesihatan dalam mengawal keselamatan orang ramai.

Sin Chew Daily berpandangan, masih terdapat dua pilihan untuk difikirkan bagi menyelesaikan krisis politik di Melaka itu.

“Pertama mengadakan pilihan raya seperti termaktub dalam undang-undang dan kedua, mengisytiharkan Proklamasi Darurat seperti apa yang berlaku terhadap Sarawak,” tulis akhbar itu.

Mengimbas kembali PRN di Sabah, setelah berkempen lebih daripada seminggu, rakyat Sabah akhirnya menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh 38 kerusi dan berjaya menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Warisan yang meraih 32 kerusi.

“Pada 2 Oktober 2020, seminggu selepas pengundian, jumlah kes baharu Covid-19 di seluruh negara hanyalah 11,771 dengan jumlah kematian 136 orang.

“Setelah setahun berlalu, jumlah kes di negara kita pada hari ini telah pun menjangkau lebih daripada 2.3 juta manakala jumlah kematian telah melebihi 26,000 orang.

“Oleh yang demikian, semua pihak haruslah memikir sedalam-dalamnya sekiranya masih ingin mengadakan PRN di Melaka. Sejarah yang berlaku di Sabah benar-benar mengajar kita agar berhati-hati menyekat virus Covid-19 daripada merebak,” jelas akhbar tersebut.

Menurut Sin Chew Daily lagi, situasi penularan Covid-19 di Melaka turut agak membimbangkan sejak akhir-akhir ini, apatah lagi varian Delta yang berkemungkinan merebak ke negeri itu tanpa disedari.

“Nasib rakyat Melaka tidak boleh diperjudikan. Sekiranya PRN tetap diadakan di Melaka, ia sudah semestinya boleh mengancam keselamatan dan kesihatan rakyat di negeri itu.

“Bagi kebaikan semua pihak, adalah lebih baik sekiranya PRN ditangguhkan buat sementara waktu. Sebaliknya apa yang patut dilakukan ialah mengisytiharkan Proklamasi Darurat. PRN boleh diadakan sekiranya pandemik Covid-19 dilihat tidak lagi membawa ancaman kepada orang ramai,” kata akhbar Cina itu lagi.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!